KUALA TERENGGANU – Seorang penghantar makanan berdepan detik cemas apabila diacu sebilah pisau pemotong daging oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika mengisi minyak motosikal di sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Panjang, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 4.30 petang.
Menurutnya, pengadu berusia 26 tahun yang berasal dari Bandar Permaisuri sedang mengisi minyak motosikalnya sebelum dihampiri suspek yang menaiki motosikal jenis Honda Wave.
"Suspek yang tiba-tiba berhenti di belakang motosikal mangsa terus menjerit, namun tidak diendahkan oleh mangsa.
"Suspek kemudiannya bertindak memarahi mangsa dengan menjerit 'ni sekor lagi lambat, mu ingat ni pam bapak mung ko' sebelum mengambil sebilah pisau pemotong daging dari bakul motosikalnya lalu mengacukannya ke arah pengadu," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Azli berkata, tindakan suspek menyebabkan mangsa ketakutan dan bertindak melarikan diri.
"Dalam kes ini tiada sebarang kecederaan atau kerugian yang dilaporkan dan suspek berusia 55 tahun dari Kampung Nibong telah berjaya ditangkap oleh pasukan RO Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kuala Terengganu," katanya.
Pada Ahad tular video di laman sosial memaparkan suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah pisau pemotong daging dan cuba mengacukan kepada mangsa.
Azli berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai 15 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah, termasuk status dikehendaki bagi kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
"Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
"Polis turut merampas barang kes antaranya sebilah pisau pemotong daging berhulu plastik panjang kira-kira 32 sentimeter, sebuah motosikal Honda Wave, sehelai kemeja-T merah, sehelai seluar panjang bercorak batik serta kunci motosikal," jelasnya.
Katanya, permohonan reman ke atas suspek dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selama empat hari bermula Isnin hingga 13 Ogos ini.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,"ujarnya.






