
KUALA TERENGGANU: Gara-gara tidak berpuas hati seorang penghantar makanan lambat mengisi minyak motosikalnya, seorang lelaki bertindak mengacu pisau pemotong daging terhadapnya di sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Panjang, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika mangsa berusia 26 tahun sedang mengisi minyak motosikalnya di stesen minyak berkenaan.
Katanya, suspek berusia 55 tahun datang dengan menunggang motosikal jenis Honda Wave sebelum berhenti di belakang motosikal mangsa.
“Suspek kemudian menjerit memarahi mangsa dengan mendakwa dia lambat mengisi minyak ke dalam tangki motosikalnya. Suspek kemudian mengambil sebilah pisau pemotong daging yang berada di dalam bakul motosikalnya sebelum mengacukannya ke arah mangsa,” katanya hari ini.
Azli berkata, mangsa kemudian melarikan diri bagi mengelak dicederakan suspek.
Beliau berkata, kejadian tersebut turut disaksikan seorang pekerja stesen minyak yang berada berhampiran lokasi.
“Saksi mengenali suspek kerana lelaki berkenaan sering datang ke stesen minyak tersebut untuk mengisi minyak motosikalnya. Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu menahan suspek,” katanya.
Menurutnya, polis merampas sebilah pisau pemotong daging sepanjang kira-kira 32 sentimeter, sebuah motosikal Honda Wave 110 dan pakaian yang dipercayai berkaitan dengan kejadian.
“Ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine. Permohonan reman terhadap suspek dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selama empat hari sehingga 13 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya. – UTUSAN
The post Lelaki positif dadah acu pisau hanya kerana lambat isi minyak appeared first on Utusan Malaysia.






![[VIDEO] ‘Kalau lori tu brek mengejut, boleh terus ke alam lain’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/IMG-20260810-WA0010-1024x766.jpg)