Pengimbas tidak mampu kesan dadah

LocalPolitics
5 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pengimbas tidak mampu kesan dadah

PETALING JAYA: Sistem pe­ngim­­bas keselamatan di lapangan terbang tidak berupaya mengklasifikasikan sesuatu objek diimbas sebagai dadah ke­rana ia dicipta untuk mengesan ancaman terutamanya bahan letupan dan senjata api.

Bagaimanapun, semua pro­ses saringan keselamatan di lapangan terbang di Malaysia adalah mengikut standard antarabangsa iaitu Civil Aviation Security Regulations 2019 dan Program Keselamatan Pe­nerbangan Awam Kebangsaan (NCASP) yang dibangunkan selaras dengan piawaian Annex 17 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Penguatkuasaan berkaitan penyeludupan dadah di pintu masuk negara pula melibatkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan agensi berkaitan, berdasarkan pera­nan, perundangan dan mandat masing-masing.

Pengarah Urusan ­Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd. Izani Gh­a­ni berkata, pegawai Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) hanya boleh mengarahkan bagasi dibuka untuk pemeriksaan fizikal sekiranya ter­dapat imej atau keadaan men­curigakan ketika saringan ke­selamatan, mengikut prosedur keselamatan yang berkuat kuasa.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya siasatan mendapati terdapat pengliba­tan ‘orang dalam’ berkait kes penyeludupan dadah melibatkan seorang pembantu juruterbang yang melepasi tapisan kese­lamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“MAHB sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan dengan menyediakan akses serta sokongan operasi yang diperlukan bagi membantu proses pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan di KLIA.

Annex 17 ICAO menyedia­kan kerangka pengurusan ke­­se­lamatan bagi mengenal pas­ti serta mengurus risiko kesela­ma­tan penerbangan secara sistematik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai siasatan polis terhadap seorang kakita­ngan beruniform yang bertugas di KLIA berhubung kes penyeludupan berkenaan, Mohd. Izani berkata, MAHB memberi kerjasama penuh bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan menyeluruh.

“Buat masa ini, MAHB memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.

“Sekiranya hasil siasatan menunjukkan keperluan untuk semakan atau tindakan dalaman melibatkan prosedur mahupun kakitangan, kita akan mengambil langkah sewajarnya mengikut peraturan dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, prosedur operasi standard (SOP) saringan keselamatan di KLIA akan diteliti semula, susulan kes penyeludupan dadah yang dikesan pihak berkuasa Indonesia membabitkan seorang kru penerbangan dari Malaysia.

Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat khas kelmarin bersama agensi berkaitan termasuk Kementerian Pe­ngangkutan, MAHB dan PDRM.

Semakan awal mendapati suspek telah melalui semua proses saringan keselamatan sebelum menaiki pesawat dan berlepas ke Indonesia pada 28 Julai lalu.

Bagasi suspek juga tidak me­nunjukkan sebarang imej mencurigakan ketika melalui proses imbasan menggunakan mesin pengimbas keselamatan di KLIA.

Suspek ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup dadah ke Jakarta. Suspek didakwa mengaku sudah tiga kali menjadi ‘kurier’ bagi rangkaian sindiket dadah antarabangsa.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dari Kuala Lumpur selepas pemeriksaan kastam menemukan kira-kira 25 kilogram (kg) dadah jenis MDMA (ekstasi) dan 2.7 gram syabu dalam bagasinya.

Ujian air kencing terhadap suspek turut didapati positif syabu, ekstasi dan kokain.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Norazman Mahmud berkata, setakat ini tiada maklumat yang mengesahkan bahawa juruterbang terlibat telah menjalani atau melepasi ujian saringan air kencing, sebelum mengendalikan penerbangan.

Beliau berkata, semua syarikat penerbangan Malaysia yang memiliki Air Operator Certificate (AOC) diwajibkan melaksanakan Program Pengurusan Alkohol dan Dadah (AADMP) yang diluluskan CAAM.

Katanya, program berke­naan merangkumi pelaksana­an ujian alkohol dan dadah berasaskan risiko.

Ujarnya, langkah pemantauan berterusan turut diwajibkan bagi memastikan kru penerbangan sentiasa meme­nuhi keperluan keselamatan dan berada dalam keadaan cergas serta layak untuk menjalankan tugas.

“Tiada maklumat yang me­ngesahkan bahawa juruterbang yang ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Soekarno-Hatta telah menjalani atau melepasi ujian saringan air kencing sebelum mengendalikan penerbangan dari Malaysia.

“Ini memandangkan perkara itu masih dalam siasatan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Norazman berkata, CAAM turut melaksanakan audit, pe­meriksaan, aktiviti pemantauan dan penilaian pematuhan secara berkala ser­ta berasaskan risiko bagi memastikan pengendali lapangan terbang dan semua pihak berkaitan mematuhi keperluan keselamatan penerbangan yang ditetapkan.

Menurutnya, jika pe­nilaian mendapati wujud ke­tidakpatuhan terhadap ke­perluan kawal selia, CAAM boleh mengarahkan tindakan pembetulan, memperkukuh langkah pengawasan atau mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, CAAM juga akan menjalankan semakan daripada sudut pematuhan kawal selia bagi menentukan sama ada semua keperluan keselamatan penerbangan dipatuhi oleh pihak yang berada di bawah bidang kuasanya.

“Sebarang tindakan lanjut akan diputuskan berdasarkan dapatan siasatan bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap semua peraturan ke­selamatan penerbangan,” ka­tanya. – UTUSAN

The post Pengimbas tidak mampu kesan dadah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved