
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hari ini (17 September), Dewan Keadilan dan Undangan (DKU) Negeri Sembilan sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menurut Setiausaha DKU Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin, selagi mana jawatan itu dipegang oleh baginda secara sah, maka tiada kekosongan dan tiada pengganti.
Tambahnya, DKU mengalu-alu kenyataan dikeluarkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim pada 15 September lalu yang menegaskan bahawa beliau selaku Menteri Besar tidak mempunyai kuasa ‘unilateral’ untuk memberhentikan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Kenyataan Menteri Besar bertarikh 15 September lalu adalah selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Justeru kesahan serta kesan proklamasi tersebut hendaklah ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman,” katanya, dipetik Sinar Harian.
Raja Norazli berkata, pendirian terbabit adalah selari dengan UUTKNS 1959 dan dengan ketetapan DKU.
Nasihat Dewan Termasuk Mengenai Pemecatan Jawatan Yang di-Pertuan Besar Tak Boleh Dicabar Atau Dipersoal – Raja Norazli
Jelasnya, di bawah perkara 16 UUTKNS 1959, persoalan berhubung adat Melayu, termasuklah pemilihan, perlantikan, perletakan dan pemecatan jawatan Yang di-Pertuan Besar dan Undang merupakan bidang kuasa Dewan.
“Nasihat Dewan mengenai persoalan sedemikian adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan kerajaan Negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan proklamasi tersebut atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar,” katanya.
Sehubungan itu, menurut Raja Norazli, keputusan MMK pada 16 September lalu tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.
Dokumen Sentuh Perkara Luar Bidang Kuasa MMK – DKU
Menurutnya, dokumen terbabit adalah bagi mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz, mengiktiraf pemilihan Yang di-Pertuan Besar yang baharu dan mengarahkan supaya perkara itu dilaksanakan serta-merta.
“Ia menyentuh perkara-perkara yang berada di luar bidang kuasa MMK dan bertentangan dengan ketetapan Dewan yang mengikat.
“Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan.”
Proklamasi 19 April Cacat Sejak Awal Kerana Ditandatangani Individu Yang Tak Pegang Jawatan Undang Yang Sah
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa proklamasi bertarikh 19 April lalu sememangnya cacat sejak awal dan tiada siasatan mengikut Perkara 10(1) UUTKNS pernah dilaksanakan.
Kata Raja Norazli lagi, tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi terbabit juga tidak lagi memegang jawatan Undang pada tarikh berkenaan.
“Berikutan keengganan Menteri Besar yang ketika itu untuk menandatanganinya, fungsi di bawah Perkara 10 (2) UUTKNS 1959 telah pun dilaksanakan sehingga proklamasi itu luput dan terbatal.
“Sebarang proklamasi yang mendakwa memilih seorang Yang di-Pertuan Besar yang baharu bersandar pada asas yang sama cacatnya dan ditandatangani oleh orang yang tidak memegang jawatan Undang yang sah dan tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.”
Prerogatif Dalam Dokumen 16 Sept Hanya Boleh Dilaksanakan Oleh Undang Yang Empat Yang Sah – Raja Norazli
Jelasnya, prerogatif Undang Yang Empat yang dinyatakan dalam dokumen bertarikh 16 September lalu hanya boleh dilaksanakan oleh Undang yang sah memegang jawatan tersebut, selaras dengan syarat serta prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan.
Tambahnya, seperti yang telah ditegaskan oleh DKU pada 13 September lalu, tiada pegawai kerajaan negeri perlu bertindak berdasarkan sebarang arahan yang bersumberkan dokumen bertarikh 5 September lalu mahupun dokumen bertarikh 16 September 2026.
“Bertindak atas dokumen-dokumen tersebut adalah bertentangan dengan UUTKNS 1959.
“DKU juga mengambil maklum bahawa perkara ini sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi dan bahawa terdapat perintah mahkamah yang masih berkuat kuasa,” katanya.
Yang di-Pertuan Besar & Institusi Undang Bukan Milik Mana-mana Parti Atau Individu, Hormati Bidang Kuasa – DKU
Justeru, semua pihak diseru supaya menghormati proses mahkamah dan tidak mengambil sebarang tindakan yang yang boleh secara langsung menghalang proses berkenaan.
“Institusi adat Negeri Sembilan, termasuk institusi Yang di-Pertuan Besar dan institusi Undang, bukan milik mana-mana parti atau individu, tetapi merupakan amanah bagi semua anak buah dan waris.
“DKU menyeru semua pihak supaya menjunjung UUTKNS, menghormati bidang kuasa dan ketetapan Dewan, serta menyelesaikan sebarang pertikaian menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.”
MB N9 Sahkan Proklamasi Penurunan Tuanku Muhriz Diputuskan Semua Exco
Terkini, Ismail Lasim mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Menurut beliau, perkara tersebut diputuskan sebulat suara oleh semua ahli Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dalam mesyuarat pada Selasa (15 September).
“Pada hari ini, saya ingin mengesahkan bahawa proklamasi memang sudah dibincangkan dan diputuskan oleh semua ahli EXCO secara sebulat suara pada mesyuarat MMK pada Selasa lalu.
“Proses pewartaan sudah pun kita minta untuk Setiausaha Kerajaan Negeri untuk teruskan mengikut peraturan sedia ada. Itu saja,” kata beliau.
Baca Artikel Berkaitan: MB N9 Buat Laporan Polis, Dakwa Dipaksa Tandatangan Surat Cara Proklamasi
Baca Artikel Berkaitan: Aminuddin Harun Sifatkan Tindakan Exco Negeri Sembilan Umum Penurunan Takhta Tuaku Muhriz Sebagai Derhaka
Baca Artikel Berkaitan: Tuanku Muhriz Ingatkan Exco Negeri Sembilan Jangan Salah Guna Kuasa






