Pengundi sekarang makin sukar diramal

LocalPolitics
5 Aug 2026 • 8:11 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pengundi sekarang makin sukar diramal

“Undilah calon Melayu.” Itulah pesanan ringkas yang sempat penulis dengar ketika menuju ke pusat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Sabtu lalu.

Walaupun diucapkan secara bersahaja oleh seorang wanita warga emas, kata-kata itu mencetuskan persoalan lebih besar dalam fikiran penulis. Benarkah keputusan pilihan raya hari ini ditentukan oleh faktor kaum semata-mata?

Selepas berbual dengan beberapa pengundi lain, penulis mendapati jawapannya jauh lebih kompleks. Ada yang mengutamakan prestasi negeri, pembangunan dan sebahagian lagi mahu melihat perubahan pentadbiran.

Kepelbagaian pandangan itu akhirnya membawa kepada persoalan utama. Selain kemenangan Barisan Nasional (BN dan beberapa keputusan mengejut termasuk kekalahan individu berprofil tinggi, keputusan itu sekali gus mencetuskan pelbagai tafsiran, termasuk ‘Gelombang Melayu’.

Namun, Ketua Pegawai Operasi IRIS Institute, Asyraf Farique berpandangan, keputusan PRN Negeri Sembilan tidak boleh dijelaskan hanya berdasarkan satu sentimen semata-mata.

“PRN Negeri Sembilan memberi peluang kepada kami menguji model analisis ‘Malay Wave’. Sama seperti di Johor, model ini menunjukkan tahap ketepatan yang tinggi antaranya unjuran kami berjaya meramalkan kekalahan Anthony Loke di Chennah dan Datuk Seri Aminuddin Harun di Linggi,” katanya.

Jelasnya, model itu tidak hanya bergantung kepada sentimen pilihan raya, trend demografi atau pakatan politik, sebaliknya mengguna kerangka analisis yang lebih menyeluruh dikenali ‘Power Game’ yang menggabungkan elemen kuasa keras dan lembut bagi menjelaskan tingkah laku politik dan keputusan pilihan raya.

Model itu dibangunkan, diuji dan diperhalusi sejak 2018 menerusi beberapa siri pilihan raya, sekali gus membantu memberi gambaran lebih menyeluruh mengenai corak pengundian rakyat.

Pandangan itu memberi isyarat keputusan PRN Negeri Sembilan bukan sekadar soal populariti seseorang pemimpin atau kekuatan sesebuah parti, sebaliknya pelbagai faktor yang saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Misalnya, faktor calon setempat masih memainkan peranan penting kerana pengundi lazimnya lebih dekat dengan wakil rakyat mereka.

Prestasi penyandang, hubungan dengan masyarakat dan keupayaan menyelesaikan isu setempat turut menjadi pertimbangan dalam membuat pilihan. Hakikat bahawa terdapat model analisis yang mampu menjangkakan beberapa keputusan penting menunjukkan landskap politik negara semakin berkembang dan kompleks.

Dalam era pengundi yang mempunyai akses luas kepada maklumat dan pelbagai saluran mendapatkan pandangan, keputusan pilihan raya hari ini tidak lagi boleh dirumuskan hanya melalui naratif ‘gelombang’ semata-mata.

Apa jua tafsirannya, PRN Negeri Sembilan memberi pengajaran penting kepada semua parti politik. Pengundi hari ini semakin sukar diramal kerana keputusan mereka dibentuk oleh gabungan pelbagai pertimbangan, daripada isu tempatan dan prestasi calon sehinggalah kepada keadaan ekonomi dan sentimen nasional.

Dalam landskap politik yang semakin kompleks, bergantung kepada satu naratif semata-mata mungkin tidak lagi mencukupi untuk memahami kehendak rakyat.

The post Pengundi sekarang makin sukar diramal appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved