
SHAH ALAM – Seorang pengurus besar sebuah syarikat pegangan pelaburan hartanah direman bagi membantu siasatan kes menyalahgunakan kedudukan termasuk urusan kenaikan pangkat bagi mendapatkan faedah dan ganjaran perkhidmatan.
Perintah reman selama dua hari ke atas lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu dibenarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Sumber berkata, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk urusan kenaikan pangkat dan pelarasan gaji.
“Suspek dipercayai menggunakan kedudukannya untuk pemberian bonus yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Perbuatan itu dipercayai dilakukan antara 2023 dan 2025 ketika menjawat jawatan Pengurus Besar di syarikat tersebut,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd. Azwan Ramli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE
The post Pengurus besar ‘atur’ pangkat, gaji, bonus direman appeared first on Kosmo Online.






