
Kota Kinabalu: Seorang pengurus premis hiburan didenda RM7,500 atau penjara 10 bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah mengendalikan pusat hiburan tanpa lesen.
Zul Niezam, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya pada Selasa.
Dia didapati mengendalikan premis hiburan secara haram pada jam 9 malam, 29 Julai lalu di Crooners Lot 9, Pusat Komersial Sri Kepayan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam dan boleh dihukum di bawah Seksyen 11 ordinan yang sama, yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan wang tunai berjumlah RM150 yang dirampas semasa serbuan dilucut hak.
Mahkamah diberitahu bahawa ketika serbuan dijalankan polis mendapati premis tersebut beroperasi menggunakan lesen milik premis lain dan tidak mempunyai lesen hiburan awam yang sah.
Pemeriksaan lanjut dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengesahkan premis berkenaan tidak memiliki lesen untuk menjalankan operasi pusat hiburan.
Dalam perkembangan berasingan dua lelaki warga China didenda RM5,000 atau penjara lima bulan setiap seorang selepas mengaku bersalah memasuki Sabah tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Liu Qing dan Mu Yonggao membuat pengakuan itu secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain.
Mereka ditahan di kaunter pemeriksaan imigresen di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 8 Julai lalu.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua lelaki itu dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas membayar denda atau selesai menjalani hukuman penjara.





