KUALA BERANG - Seorang pengurus restoran makanan segera maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi, berhampiran Masjid Ajil, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa Nor Haizura Mamat Sidek, 45, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuala Berang. Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun bersama penumpang wanita berusia 22 tahun.
"Kira-kira 8.15 malam tadi, mangsa yang merupakan pejalan kaki dipercayai sedang melintas jalan dari kiri ke kanan sebelum dilanggar kereta berkenaan. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu dan penumpang kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Katanya, keadaan jalan ketika kejadian adalah basah selepas hujan, manakala lokasi kejadian merupakan jalan lurus dengan dua lorong sehala dan keadaan trafik yang sibuk.
"Keadaan ketika itu juga gelap kerana tiada lampu jalan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.






