PUTRAJAYA - Seorang pengurus syarikat sebuah agensi yang menawarkan perkhidmatan kewangan dan korporat ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan pengurangan cukai bernilai kira-kira RM200 juta.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 7 malam, Rabu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini.
Perintah reman tiga hari sehingga 3 Oktober terhadap suspek dikeluarkan Majistret Illya Syaheedah Mohd Razif selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2018 hingga 2026.
Suspek juga dipercayai memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguat kuasa selain memanipulasi kira-kira 480 akaun syarikat dengan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan pengurangan cukai di samping mengumpul kekayaan melalui aktiviti tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahan tersebut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009," ujarnya.






