
PUTRAJAYA: Dua tokoh korporat yang juga merupakan adik-beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bersubahat menyeleweng dan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.
Perintah reman selama lima hari sehingga 6 Oktober ini terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu telah ditahan kira-kira pukul 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada penghujung tahun 2020.
Kedua-dua suspek juga dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan yang berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan berjumlah kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama yang bergelar Datuk Seri berusia lingkungan 40-an.
Dalam pada itu, SPRM turut menyita sebanyak 15 unit kereta mewah, 12 unit motosikal berkuasa tinggi, lima unit jam tangan mewah, tiga unit gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN
The post Dua tokoh korporat bergelar Datuk Seri, Datuk Wira disyaki salah guna kuasa appeared first on Utusan Malaysia.






