TANGKAK - Seorang pengusaha kelapa sawit rugi RM245,403 selepas terpedaya dengan janji pulangan pelaburan lumayan dan jaminan pemulangan modal yang tinggi dalam tempoh singkat.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib, berkata kejadian berlaku selepas wanita tempatan berusia 56 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan Quantsea X di aplikasi TikTok pada 6 Mei lalu.
“Berminat dengan tawaran itu, mangsa melakukan 18 transaksi ke dalam tiga akaun bank berbeza yang disyaki sebagai akaun keldai, bermula 1 Julai hingga 22 Ogos lalu.
“Mangsa menyedari dirinya ditipu menerusi pelaburan tersebut sebelum membuat laporan polis pada Ahad,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda.
“Polis Daerah Tangkak menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dengan cara mudah dalam tempoh yang singkat,” katanya.






