
KUALA LANGAT: Tiga warga Indonesia yang bekerja sebagai pengait kelapa sawit berdepan hukuman mati apabila dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini menyebabkan kematian seorang pengusaha ladang sawit, pada 9 Ogos lalu.
Tertuduh iaitu Indra Apriyan, 22; Dedi Saputra, 33, dan Eko Hariyanto, 39, dihadapkan ke mahkamah itu dan mengangguk faham selepas mendengar kertas pertuduhan dibacakan ke atas mereka secara bersama.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan sehingga ia disebut di Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Rosdi Tulus, 49, di kawasan kebun kelapa sawit di Kebun 55, Jalan Kampung Sungai Kelambu, Banting, pada pukul 11 pagi, 9 Ogos lalu.
Justeru, ketika-tiga warga pendatang itu dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid.
Tiada jaminan diberikan terhadap ketiga-tiga lelaki tersebut oleh Majistret Maslinda Selamat dan sebutan semula kes ditetapkan 22 September depan.
Selain itu, Indra, Dedi dan Eko turut dituduh memasuki negara ini di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan tanpa dokumen sah bersama seorang lagi rakan senegara mereka, Suyono, 47, ketika ditangkap pada hari tarikh sama.
Bagaimanapun, hanya Suyono yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut, namun tiada jaminan dibenarkan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula bagi kes tersebut pada 17 September depan.
Pada 11 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki dipercayai pengusaha kebun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai dibunuh di sebuah ladang sawit dekat Sungai Kelambu, Banting.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, seramai lapan orang suspek ditahan susulan siasatan dan maklumat diterima pihaknya. – UTUSAN
The post Tiga pekebun warga Indonesia dituduh bunuh lelaki tempatan appeared first on Utusan Malaysia.






