liza07/10/2026 - 17:56 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt – Datasonic Group Berhad (yang sebelum ini dikenali sebagai NexG Berhad) membatalkan rancangan pembelian sebuah hartanah selepas syarat terdahulu berkaitan kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) tidak dipenuhi.
Anak syarikat milik penuh Datasonic, Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), telah mengeluarkan Notis Penamatan bertarikh 7 Oktober 2026 kepada Pixio Sdn Bhd bagi menamatkan Perjanjian Jual Beli (SPA) yang ditandatangani pada 10 Julai 2025.
“Penamatan itu dibuat susulan kegagalan memenuhi syarat terdahulu berkaitan mendapatkan Sijil Perakuan Bomba.
“Kelulusan tersebut diperlukan bagi memastikan peralatan keselamatan kebakaran di hartanah berkenaan mematuhi peraturan keselamatan kebakaran dan hartanah itu memenuhi piawaian keselamatan kebakaran yang ditetapkan,” katanya.
Pada Julai 2025, Datasonic mengumumkan cadangan pengambilalihan hartanah perindustrian milik Pixio di No. 32, Jalan 223, Petaling Jaya, Selangor pada harga RM28.5 juta.
Hartanah itu mempunyai keluasan tanah kira-kira 6,182.5 meter persegi dan merangkumi kilang dua tingkat, blok pejabat tiga tingkat, gudang dua tingkat serta pondok pengawal.
Datasonic berkata, kegagalan memenuhi syarat berkenaan menyebabkan DTSB menggunakan haknya untuk menamatkan SPA tersebut.
Deposit RM2.85 juta dipulangkan
Susulan penamatan itu, Pixio perlu mengatur pemulangan deposit yang telah dibayar DTSB bagi harga pembelian hartanah berjumlah RM2.85 juta.
Deposit berkenaan perlu dipulangkan kepada DTSB atau peguam yang dilantik dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penerimaan Notis Penamatan.
Datasonic berkata, selepas menerima semula keseluruhan deposit tersebut, DTSB akan menandatangani dokumen rasmi penamatan SPA.
Tiada tuntutan selepas penamatan
Selepas dokumen penamatan ditandatangani, SPA berkenaan tidak lagi mempunyai sebarang kuasa atau kesan.
Kedua-dua pihak juga tidak mempunyai sebarang tuntutan lanjut antara satu sama lain yang timbul daripada atau berkaitan dengan SPA tersebut.
Datasonic sebelum ini mengumumkan cadangan pengambilalihan hartanah berkenaan pada 10 Julai 2025 dan membuat pengumuman susulan pada 14 Julai 2025.- DagangNews.com






