Peniaga jual 1,125 filem DVD tanpa perakuan didenda RM6,000

LocalMovie
16 Sep 2026 • 10:06 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peniaga jual 1,125 filem DVD tanpa perakuan didenda RM6,000
Seorang peniaga didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret atas satu pertuduhan menjual 1,125 filem dalam DVD tanpa perakuan.

PETALING JAYA - Seorang peniaga didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas satu pertuduhan menjual 1,125 filem dalam cakera video digital (DVD) tanpa Perakuan B, tiga bulan lalu.

Chang Chen Choon, 42, dikenakan hukuman berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Farah Azura Mohamed Saat.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjual 1,125 filem dalam bentuk DVD yang tidak mempunyai Perakuan B yang dikeluarkan Lembaga Penapisan Filem seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 18(4)(a) Akta Penapisan Filem 2002.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah premis dalam sebuah pusat beli-belah di Seri Kembangan pada jam 2 petang, 16 Jun.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 18(4)(a) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 18(5) akta sama, membawa hukuman denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada tarikh berkenaan, semasa menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan, sepasukan pegawai penguat kuasa Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya menjumpai lebih 1,000 filem DVD tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Nik Azwin Nik Azmi, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam industri jualan DVD filem di Malaysia, Perakuan B ialah pelekat kelulusan rasmi daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) di bawah KDN.

Ia membabitkan salinan DVD filem yang tulen dan sah untuk dijual atau diedarkan kepada orang ramai.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved