Kos tambahan ratusan juta ringgit dijangka tekan keuntungan CelcomDigi - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2026 • 9:51 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos tambahan ratusan juta ringgit dijangka tekan keuntungan CelcomDigi - Penganalisis Image from: Kos tambahan ratusan juta ringgit dijangka tekan keuntungan CelcomDigi - Penganalisis sarah20/11/2026 - 09:51 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Nov - CelcomDigi Bhd berdepan risiko peningkatan kos kawal selia sehingga beberapa ratus juta ringgit yang boleh mengurangkan manfaat penjimatan operasi syarikat, sekali gus memberi tekanan kepada pertumbuhan keuntungannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Menurut BIMB Securities Research, peningkatan kos itu melibatkan beberapa perubahan peraturan, termasuk bayaran duti setem selepas tamatnya pelepasan pematuhan pada 2026, kenaikan fi penggunaan peralatan telekomunikasi serta caj pelesenan dan spektrum.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihak pengurusan CelcomDigi memaklumkan bahawa kesan terkumpul perubahan tersebut berpotensi melebihi RM100 juta, malah boleh mencecah beberapa ratus juta ringgit, bergantung kepada pelaksanaannya.

 

Sehubungan itu, BIMB Securities menurunkan unjuran keuntungan bersih CelcomDigi bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 antara 10% hingga 12%, mengambil kira jangkaan pertumbuhan hasil yang lebih sederhana, tekanan kos rangkaian 5G dan peningkatan perbelanjaan kawal selia.

 

Penjimatan RM600 juta dijangka mulai 2027

Bagaimanapun, MBSB Research berpandangan usaha pengurangan kos CelcomDigi masih berada pada landasan yang baik selepas syarikat mencatatkan penjimatan operasi sebanyak RM282 juta bagi sembilan bulan pertama 2026.

 

Menurut firma itu, CelcomDigi telah meningkatkan sasaran penjimatan kos bagi keseluruhan 2026 kepada RM476 juta berbanding RM450 juta sebelum ini, dengan baki RM194 juta dijangka dicapai pada suku keempat tahun berkenaan.

 

Pencapaian sasaran tersebut dijangka membolehkan CelcomDigi memperoleh manfaat penjimatan tahunan sebanyak RM600 juta mulai 2027, sekali gus menyokong pemulihan keuntungan selepas penyatuan operasi kedua-dua syarikat telekomunikasi itu.

 

RHB Investment Bank turut melihat potensi peningkatan penjimatan selepas penggabungan apabila kira-kira 90% proses penyatuan sistem teknologi maklumat telah diselesaikan, manakala baki kerja dijadualkan diteruskan pada 2027.

 

Kos 5G meningkat, penyatuan DNB belum selesai

Dalam perkembangan berkaitan, RHB Research berkata, pemindahan pegangan saham Digital Nasional Bhd (DNB) daripada Kementerian Kewangan masih belum dimuktamadkan, menyebabkan sumbangan kewangan DNB belum diambil kira dalam keputusan CelcomDigi bagi sembilan bulan pertama 2026.

 

MBSB Research berkata, CelcomDigi telah mengenal pasti tiga keutamaan bagi meningkatkan nilai rangkaian 5G, iaitu memodenkan infrastruktur, mengurangkan kos pengendalian dan memperluas liputan dalam bangunan, walaupun kesan kewangan daripada DNB dijangka tidak ketara pada 2026.

 

Keuntungan suku ketiga meningkat 18%

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, CelcomDigi mencatatkan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak RM413 juta, meningkat 18% berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala hasil meningkat 5.8% kepada RM3.31 bilion. Syarikat turut mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 3.4 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen sembilan bulan pertama sebanyak 10.2 sen.

 

Walaupun berdepan tekanan kos, ketiga-tiga firma penyelidikan mengekalkan saranan 'beli' terhadap CelcomDigi. RHB Research menetapkan harga sasaran RM3.70, diikuti MBSB Research pada RM3.54, manakala BIMB Securities menurunkan harga sasaran kepada RM3.10 daripada RM3.30 berikutan semakan unjuran keuntungan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved