liza20/11/2026 - 10:46 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov – Kapasiti pengeluaran wafer SilTerra Malaysia Sdn Bhd bagi tahun kewangan 2027 (FY2027) hampir ditempah sepenuhnya susulan permintaan tinggi terhadap cip semikonduktor yang membuka ruang kepada hasil Dagang NeXchange Berhad (DNeX) meningkat dua kali ganda berbanding FY2026.
Penganalisis berkata, prospek itu disokong peningkatan penghantaran wafer, campuran produk bernilai lebih tinggi serta penambahan peralatan pengeluaran di SilTerra.
Pemulihan prestasi segmen semikonduktor itu akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan keuntungan kumpulan itu pada tahun kewangan 2027 (FY2027), didorong peningkatan permintaan cip silikon fotonik bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.
TA Research berkata, pemulihan SilTerra semakin ketara apabila segmen semikonduktor kembali mencatat keuntungan sebelum cukai teras sebanyak RM60.9 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9MFY26), berbanding kerugian RM52.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Perkembangan itu menyumbang kepada peningkatan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (Core PATAMI) DNeX sebanyak 188.6% kepada RM86.1 juta bagi 9MFY26, berbanding RM29.8 juta setahun sebelumnya.
Dalam tempoh sama, hasil kumpulan meningkat 2.7% kepada RM849.4 juta berbanding RM826.7 juta, mencerminkan peningkatan keuntungan yang lebih ketara berbanding pertumbuhan hasil.
Permintaan cip AI tingkatkan sumbangan SilTerra
Menurut TA Research, pemulihan SilTerra didorong campuran produk yang lebih menguntungkan serta peningkatan harga jualan purata (ASP) wafer, susulan permintaan yang kukuh daripada aplikasi AI dan pusat data.
Produk teknologi baharu, termasuk silikon fotonik, menyumbang 58% daripada hasil segmen semikonduktor bagi 9MFY26 berbanding 41% dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Pada masa sama, ASP wafer meningkat kepada AS$849 berbanding AS$667 setahun sebelumnya, manakala margin keuntungan sebelum cukai teras segmen semikonduktor bertambah 22.1 mata peratusan kepada 11.1%.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26), keuntungan teras DNeX meningkat 292.4% kepada RM44.8 juta berbanding RM11.4 juta setahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 11.2% kepada RM297 juta.
Peningkatan itu sebahagian besarnya disokong prestasi segmen semikonduktor yang mencatat keuntungan sebelum cukai teras RM43.9 juta, meningkat 174.1% berbanding RM16 juta pada suku sebelumnya.
Tempahan pengeluaran hampir penuh bagi FY2027
Mengulas prospek, TA Research berkata, pihak pengurusan menjangkakan satu lagi prestasi memberangsangkan bagi 4QFY26, khususnya daripada segmen semikonduktor, disokong ASP lebih tinggi, penambahan kapasiti pengeluaran dan campuran produk yang lebih menguntungkan.
Permintaan terhadap produk silikon fotonik juga kekal tinggi susulan perkembangan AI, dengan keterlihatan tempahan dilaporkan sehingga FY2030. Produk teknologi baharu itu dijangka menyumbang sehingga 65% daripada hasil segmen semikonduktor pada 4QFY26.
Bagi FY2027, pihak pengurusan menjangkakan ASP wafer kekal melebihi AS$1,000, manakala hasil produk teknologi baharu SilTerra berpotensi meningkat dua kali ganda berbanding FY2026.
Margin PAT SilTerra juga disasarkan meningkat kepada 30% hingga 35% berbanding kira-kira 20% ketika ini, mencerminkan jangkaan peningkatan keuntungan daripada pertumbuhan produk bernilai lebih tinggi.
Secara berasingan, BIMB Securities Research berkata, kapasiti pengeluaran SilTerra bagi FY2027 hampir ditempah sepenuhnya, dengan keterlihatan tempahan pelanggan sehingga 2028. Pihak pengurusan juga melihat keperluan untuk menambah kapasiti bagi memenuhi permintaan selepas FY2027.
Firma itu turut menjangkakan hasil kumpulan DNeX bagi FY2027 berpotensi meningkat dua kali ganda berbanding FY2026, disokong peningkatan penghantaran wafer, campuran produk lebih menguntungkan dan tambahan peralatan pengeluaran.
Selain semikonduktor, segmen tenaga DNeX turut dijangka menerima sumbangan daripada projek Abu Cluster yang disasarkan memulakan pengeluaran minyak pertama pada suku pertama 2027, dengan sasaran pengeluaran 2,000 hingga 3,000 tong sehari.
Susulan prestasi lebih baik daripada jangkaan, TA Research menaikkan unjuran keuntungan DNeX bagi FY2026, FY2027 dan FY2028 masing-masing sebanyak 67.7%, 11.2% dan 4.7%, selain menaikkan harga sasaran saham kepada RM0.82 daripada RM0.73 dan mengekalkan saranan 'Beli'.
Sementara itu, BIMB Securities menaik taraf saranan saham DNeX kepada 'Beli' daripada 'Pegang' dan menaikkan harga sasaran kepada RM0.65 daripada RM0.55, berikutan prospek pertumbuhan SilTerra serta jangkaan permulaan pengeluaran minyak Abu Cluster. - DagangNews.com






