
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 35 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret pada Khamis kerana menipu seorang lelaki sebanyak RM3,300.
Mohd Shahnoorfitri Shamsuddin mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas kesalahan yang dilakukan di Gaya Street pada jam 12.30 tengah hari, 13 Julai tahun ini.
Tertuduh didakwa menipu seorang lelaki bernama Naser Khan dengan memperdayakannya untuk menyerahkan wang tunai RM3,300 — jumlah yang tidak akan diberikan sekiranya mangsa tidak ditipu.
Kesalahan itu di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan memaklumkan mahkamah bahawa pada 12 Julai lalu, jam 8.30 malam pengadu berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai “Littleboy” dan mendakwa sebagai anggota polis.
Lelaki itu menawarkan untuk ‘melepaskan’ pekerja kepada bapa saudara pengadu yang kononnya ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi ujian air kencing.
Suspek juga menawarkan untuk menjual barang rampasan seperti minuman keras dan rokok.
Tertarik dengan tawaran itu pengadu menyerahkan wang tunai RM3,300 kepada suspek. Namun kemudian dia berasa ditipu apabila lelaki itu tidak lagi dapat dihubungi.
Selepas membuat semakan dengan Bahagian Narkotik polis pengadu dimaklumkan bahawa tiada pegawai bernama “Littleboy”. Pengadu kemudian membuat laporan polis.
Mahkamah memerintahkan Shahnoorfitri menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap.
Dalam kes berasingan dua lelaki masing-masing didenda RM100 atau penjara tiga hari sekiranya gagal membayar denda oleh mahkamah sama kerana memiliki barangan yang dipercayai hasil curi.
Jeymarlbel Abd Kiram, 32, dan Norarif Zulkifli, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan bersama memiliki pemotong berwarna kuning dan seutas kabel bertanda“Telekom Malaysia Berhad” pada jam 5 petang, 8 Oktober lalu di hadapan Pusat Servis Nissan, Kawasan Perindustrian Inanam.
Kedua-duanya gagal memberi penjelasan memuaskan mengenai bagaimana mereka memperoleh barangan tersebut.
Kesalahan itu di bawah Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Cap 80) dibaca bersama Seksyen 34 ordinan sama yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM100 atau penjara tiga bulan atau kedua-duanya.
Menurut fakta kes pasukan polis melakukan pemantauan di lokasi selepas menerima maklumat mengenai aktiviti mencuri kabel. Semasa pemerhatian dua lelaki dilihat berkelakuan mencurigakan berhampiran sebuah lubang pembetung.
Mereka kemudian ditahan dengan salah seorang daripadanya didapati berada di dalam lubang tersebut sambil memegang barangan berkenaan.
Siasatan polis mengesahkan kabel yang dipotong itu milik Telekom Malaysia Berhad. Barangan tersebut telah dirampas untuk tindakan lanjut.
