
IPOH – Seorang penjaga stor berdepan dua pertuduhan selepas didakwa mencabul kehormatan pekerja wanita berusia 19 tahun termasuk memeluk mangsa dari belakang dan memegang kedua-dua payudaranya di sebuah kedai serbaneka, bulan lalu.
Bagaimanapun, Muhammad Haziq Danial Zulkifli, 23, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha di Mahkamah Majistret, hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat mencabul kehormatannya dengan memeluk wanita berkenaan dari belakang sebelum memegang kedua-dua payudaranya.
Perbuatan itu didakwa berlaku di sebuah kedai serbaneka di Panorama Lapangan Perdana, daerah Kinta, kira-kira pukul 5.25 pagi pada 24 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan mangsa dengan melakukan perbuatan onani di hadapan wanita berkenaan pada lokasi, tarikh dan masa sama.
Pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira sebelum itu mencadangkan jaminan RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Kathan bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan dengan mengambil kira pendapatan tertuduh sebanyak RM1,900 sebulan.
“Tertuduh berusia 23 tahun dan bekerja sebagai penjaga stor dengan pendapatan RM1,900 sebulan,” katanya sambil memaklumkan tertuduh turut menanggung isteri yang tidak bekerja serta seorang anak berusia tujuh tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan selain menetapkan syarat dia tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula bagi serahan dokumen dan membolehkan tertuduh melantik peguam.
The post Penjaga stor tak mengaku peluk, pegang payudara pekerja kedai serbaneka appeared first on MYBERITA.






