
SHAH ALAM, 20 NOV: Seorang penjawat awam ditahan kerana disyaki membawa masuk seorang wanita warga asing tanpa dokumen perjalanan sah menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA 2).
Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner M Ravi berkata, tangkapan pada Selasa lalu dilakukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di kaunter Imigresen, Balai Ketibaan KLIA 2.
Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 1.18 pagi, 17 November lalu.
“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu jam 1.18 pagi pada 17 November lalu.
“Laporan itu dibuat seorang pegawai AKPS yang bertugas ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Ravi berkata, siasatan terhadap penjawat awam terbabit dijalankan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan antipenyeludupan migran.
“Siasatan terhadap penjawat awam itu dijalankan mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Wanita warga asing berkenaan pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya.






