Pensyarah IPT Hilang 3 Hari Sebelum Hari Raya Aidilfitri, Keluarga Mohon Bantuan Orang Ramai

3 Apr 2025 • 4:37 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Bila sebut sahaja tentang kes orang hilang, kebiasaannya ia melibatkan kanak-kanak atau remaja.

Namun sejak belakangan ini, ada juga kes yang melibatkan golongan dewasa khususnya wanita.

Keadaan sebegini sudah semestinya mendatangkan kebimbangan kepada orang ramai terutamanya keluarga yang terlibat.

Keluarga Buntu, Pensyarah IPT Hilang 3 Hari Sebelum Raya

Terbaharu, tular di media sosial kehilangan seorang pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) tiga hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Keadaan itu menyebabkan keluarganya buntu selepas dia masih lagi gagal dikesan sehingga ke hari ini (3 April).

Pensyarah daripada Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) yang dikenali sebagai Haslina Abdullah hilang tanpa dikesan selepas suaminya, Jafri Ab Rahman, menghantar dia pergi bekerja pada 28 Mac lalu kira-kira jam 8.30 pagi.

Ibu Tidak Muncul Ketika Bapa Jemput Pulang

Jelas anak sulung Haslina yang dikenali sebagai Mohamad Zuljawalil Ikram Jafri, ibunya itu sepatutnya dijemput pulang oleh ayahnya di Stesen Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul Timur pada hari yang sama jam 4 petang.

Namun, wanita tersebut tidak muncul seperti biasa hingga menyebabkan ayah serta adik bongsunya, Ainol Atikah, panik serta risau.

Malah, mereka telah pun cuba menghubungi telefon bimbit Haslina namun tidak berjaya malah mesej WhatsApp yang dihantar juga gagal.

“Sepatutnya ayah dan adik bongsu pulang ke kampung di Temerloh untuk berhari raya selepas menjemput ibu di Stesen LRT Sentul Timur, malah semua beg dan keperluan sudah siap sedia di dalam kereta.

“Hanya tunggu ibu sebelum mereka bertolak pulang ke kampung. Namun, ibu tidak muncul seperti biasa. Ayah dan adik cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi gagal.

“Selepas tiga jam menunggu dan gagal menghubungi ibu, adik bongsu memaklumkan kepada saya dan adik kedua saya, Asyikin.

“Asyikin bergegas ke tempat kerja ibu untuk mencarinya, namun gagal menemui ibu selepas memeriksa setiap tingkat UNITAR dengan kebenaran pihak pengurusan,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Ahli Keluarga Sudah Buat Laporan Polis, Ayah Menangis Sejak Ibu Hilang

Jelas Mohamad Zuljawalil Ikram lagi, laporan polis telahpun dibuat oleh bapanya selepas semua usaha mengesan ibu termasuk di kawasan UNITAR dan laluan LRT yang biasa digunakan gagal menemui sebarang petunjuk.

Malah, mereka sekeluarga amat risau memandangkan Haslina mempunyai penyakit tiroid dalam darah yang kadangkala boleh menyebabkan keletihan dan kemurungan.

“Kami sekeluarga sangat buntu dan tertekan, apatah lagi ayah menangis setiap hari sejak kehilangan ibu pada Jumaat lalu, tiga hari sebelum Aidilfitri.

“Padahal, malam sebelum kehilangannya, ibu sangat seronok dan ceria apabila ayah membawanya serta adik bongsu membeli baju raya.

“Malah, ibu tak sabar untuk pulang berhari raya di Temerloh selepas hari terakhir bekerja sebelum bercuti, Jumaat lalu,” jelasnya lagi.

Tidak Sambut Hari Raya Aidilfitri, Ahli Keluarga Turut Buat Carian Di Hospital

Kongsi Mohamad Zuljawalil Ikram, dia sekeluarga tidak menyambut Hari Raya Aidilfitri ekoran kehilangan ibu mereka itu.

“Pada hari raya kedua, kami sekeluarga memeriksa hospital, termasuk hospital swasta tempat ibu mendapatkan rawatan, namun gagal mengesannya.

“Kami turut memeriksa semua hospital di sekitar Lembah Klang, termasuk Sungai Buloh, tetapi masih buntu.

“Kami merayu bantuan orang ramai untuk mengesan ibu dengan gambar terbarunya sehari sebelum kehilangannya, iaitu ketika membeli baju raya pada Khamis minggu lalu.

“Pada hari kehilangannya, ibu memakai tudung hitam dan pakaian gelap. Jika ada yang terlihat ibu, kami mohon supaya hubungi saya di talian 013-4257842 atau adik bongsu, Ainon, di 013-9134992,” jelasnya lagi.

image is not available
Foto: Tangkap Layar Facebook

Source: