KEPALA BATAS – Seorang lelaki maut manakala dua lagi penunggang motosikal cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan dua kereta di Kilometer 127.4 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.04 petang itu, mangsa yang berusia 50 tahun yang menunggang motosikal Honda Silverwing GT disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM).
Sementara pembonceng motosikal iaitu wanita berusia 50 tahun pula mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan lanjut oleh pasukan ambulans KKM.
Mangsa yang meninggal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.04 petang sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 10 minit kemudian.
Menurutnya, kemalangan berkenaan melibatkan motosikal Honda Silverwing GT, motosikal Yamaha MT-09 serta dua kereta Perodua Myvi.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap menjalankan kerja-kerja menyelamat selepas tiba di lokasi.
“Penunggang Yamaha MT-09 iaitu lelaki berusia 50 tahun yang tercampak ke tebing dibawa naik ke tempat selamat dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Puyu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah dan turut dibawa ke hospital bagi menerima rawatan.
“Dua pemandu Perodua Myvi berusia 47 dan 44 tahun pula dilaporkan selamat.
"Operasi membabitkan enam anggota termasuk penyelia serta sebuah jentera LFRT dari BBP Kepala Batas. Operasi yang turut mendapat bantuan polis, KKM dan PLUS ditamatkan pada jam 3.05 petang," ujarnya.
Difahamkan kemalangan yang berlaku dari Sungai Petani menghala ke Pulau Pinang itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sehingga lebih 3 jam.






