Penunggang motosikal maut, van langgar lampu merah di Kajang

28 Oct 2026 • 11:39 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Penunggang motosikal maut, van langgar lampu merah di Kajang

SHAH ALAM, 28 OKT: Seorang lelaki berusia 20 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah van di persimpangan tiga lampu isyarat Jalan Reko, Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata kejadian kira-kira jam 11 pagi itu membabitkan sebuah van Toyota Hiace berwarna putih dan motosikal jenis Yamaha.

Menurutnya, siasatan awal mendapati van berkenaan sedang membelok ke kanan ketika lampu isyarat berwarna merah sebelum dilanggar motosikal mangsa yang bergerak lurus.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal warga tempatan berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata pemandu van berusia 71 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala keputusan ujian air kencing terhadapnya didapati negatif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Polis turut meminta individu yang mempunyai maklumat kejadian atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Zahrein Muhd Suod di talian 017-381 8422 bagi membantu siasatan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, mengamalkan pemanduan berhemah dan berhati-hati ketika memandu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved