
BUKIT MERTAJAM : Seorang penunggang motosikal mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menunggang secara tidak cermat sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan di Jalan Permatang Pauh di sini, minggu lepas.
Mohamad Amin Abdul Hamid, 24, yang bekerja sebagai pembantu khidmat am membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Razali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang baru empat bulan mendapat pekerjaan tetap didapati telah menunggang motosikal jenis Honda RS-X secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa sehingga menyebabkan kemalangan kepada dua pejalan kaki.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Permatang Pauh dalam daerah Seberang Perai Tengah kira-kira pukul 7.20 pagi, pada 23 September yang lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM5,000 hingga RM10,000 atau dipenjarakan untuk tempoh sehingga 12 bulan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh pula diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Puvirajan.
Ketika prosiding, Siti Nur Amalina menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, namun, Puvirajan dalam rayuannya berkata, anak guamnya itu hanya berpendapatan sebanyak RM1,500 sebulan serta perlu menanggung kedua ibu bapanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 18 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Memetik laporan media pada 23 September lalu, polis sedang mengesan identiti seorang penunggang motosikal yang dipercayai melanggar dua orang murid perempuan berusia lapan dan sembilan tahun berhampiran sebuah sekolah di Jalan Permatang Pauh di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, suspek bagaimanapun tampil ke balai polis untuk membantu siasatan selepas menyedari rakaman video mengenai kejadian itu tular di media sosial.-UTUSAN
The post Penunggang motosikal tak mengaku langgar dua murid perempuan appeared first on Utusan Malaysia.






