KUALA LANGAT - [DIKEMAS KINI] Penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang tular selepas terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan seorang lelaki warga emas, didakwa atas satu pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
N Vishwesh, 23, yang memakai baju lokap berwarna jingga, mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Maslinda Selamat.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Eng Kim Kheng @ Ng Kim Swee, 79, dengan menyebabkan kematiannya di Kilometer 38 Jalan Klang-Banting-Port Dickson di sini, jam 7.20 malam pada 7 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid sementara tertuduh diwakili peguam, T Mishant.
Maslinda tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula pada 1 Oktober depan.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang lelaki tular di media sosial selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Kanchong Bengkok.
Menerusi rakaman video yang tular itu, lelaki berkenaan dilihat berada di lokasi kejadian sebelum mengakui dirinya mabuk ketika disoal orang awam, namun menafikan melakukan sebarang kesalahan dengan berkata, "Ya, I mabuk, tapi I tak buat apa-apa!"






