
Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak, ada yang menyindir.
Dengan sinis mereka berkata, kononnya penurunan harga itu terlalu kecil untuk memberi impak besar. Ada menuduh ia sekadar ‘gula-gula politik’ tanpa memahami keseluruhan kerangka dasar di sebaliknya.
Realitinya, langkah diumumkan Perdana Menteri itu bukan sekadar angka di papan harga stesen minyak. Ia sebahagian pelan jangka panjang Kerajaan MADANI untuk memastikan subsidi disalur tepat kepada golongan yang layak, mengurangkan ketirisan dan mengekang penyeludupan bahan api ke luar negara.
Di sebalik suara-suara sinis, suatu yang tidak boleh dinafikan bahawa langkah membabitkan RON95 ini bakal memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal. Ini termasuk golongan belia seawal usia 16 tahun yang sudah memiliki lesen, selain pekerja gig serta pelbagai sektor lain yang sehari-hari bergantung kepada kos petrol ketika keluar mencari rezeki.
Bagi yang bersuara sinis, benar juga penurunan harga daripada RM2.05 kepada RM1.99 hanya membabitkan beberapa sen, namun dalam konteks penggunaan sebulan penjimatan boleh mencecah puluhan ringgit.

Bagi isi rumah B40 dan M40, ia angka signifikan. Penjimatan boleh digunakan untuk belanja dapur, pembayaran bil utiliti atau sebagai simpanan kecemasan.
Subsidi bahan api di Malaysia selama ini bersifat menyeluruh atau ‘blanket subsidy’, Maksudnya semua pengguna tanpa mengira pendapatan atau taraf kewarganegaraan menikmati harga rendah. Akibatnya, rakyat berpendapatan tinggi dan kenderaan mewah mendapat manfaat sama seperti golongan berpendapatan rendah.
Ia turut mendorong penyeludupan petrol ke negara jiran, terutamanya di sempadan Thailand, Indonesia (Kalimantan) dan Singapura.
Kenderaan asing masuk ke Malaysia sering mengisi penuh tangki dengan RON95 bersubsidi sebelum pulang, mengaut keuntungan melalui perbezaan harga yang besar. Tanpa langkah penyasaran, subsidi ini bukan sahaja ‘bocor’ ke luar, malah membebankan fiskal negara.
Melalui penyasaran subsidi, kerajaan dapat menyalurkan bantuan hanya kepada warganegara yang layak. Ia memastikan wang rakyat tidak dibazirkan untuk membiayai penggunaan kenderaan asing atau mereka yang tidak memerlukan bantuan.
Ada mempersoal mengapa kerajaan memilih untuk menurunkan harga RON95 kepada RM1.99, sedangkan trend harga minyak dunia sentiasa berubah dan kadang-kala menekan bajet negara. Jawapannya, ia satu isyarat bahawa penyasaran subsidi bukanlah langkah ‘menaikkan harga’ semata-mata, tetapi memastikan mereka yang layak dapat menikmatinya dengan harga lebih rendah berbanding pasaran bebas.
Kerajaan sedar rakyat kini berdepan kos sara hidup yang meningkat dan sebarang penjimatan walau kecil mana sekalipun boleh memberi kesan positif. Dalam konteks ekonomi makro, setiap sen dijimatkan oleh pengguna B40 dan M40, akan kembali ke pasaran domestik melalui perbelanjaan, seterusnya merangsang ekonomi tempatan.
Namun, mengekalkan harga RON95 pada paras rendah bukan mudah ketika harga minyak mentah dunia tidak menentu. Ia memerlukan imbangan teliti antara kebajikan rakyat dan kestabilan fiskal negara.
Mengapa penyasaran subsidi ini penting? Untuk menjawab soalan ini, mungkin angka ini ini boleh membantu. Pada 2023 sejumlah RM71.87 bilion dibelanjakan untuk subsidi dan bantuan tunai termasuk RON95, meningkat berbanding RM67.358 bilion pada 2022. Tahun lalu, angka itu turun sedikit kepada RM67.360 bilion, manakala untuk tahun ini, jangkaan perbelanjaan sama dapat diturunkan lagi sehingga RM52.571 bilion.
Walaupun ada penurunan sejak 2024, nilainya masih sangat tinggi. Jika tiada langkah penyasaran, perbelanjaan subsidi akan terus ‘memakan’ ruang fiskal, menyukarkan kerajaan untuk menyalurkan dana kepada sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur.
Rasionalnya, penyasaran subsidi usaha untuk mengelak ketirisan berterusan. Apabila subsidi diagihkan tepat kepada sasaran, wang negara dapat digunakan secara lebih efisien.
Ramai sebenarnya terlupa subsidi sebenarnya bukanlah obligasi mutlak kerajaan. Ia satu bentuk inisiatif diambil demi meringankan beban rakyat, bergantung kemampuan fiskal negara. Di banyak negara lain, harga bahan api dibiarkan mengikut pasaran tanpa campur tangan. Malaysia memilih jalan berbeza dengan mengekalkan subsidi, tetapi disasar kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Pendekatan ini lebih adil dan lestari. Tanpa penyasaran, kita akan terus memberi subsidi kepada golongan yang tidak memerlukan, bahkan kepada warga asing yang mengaut keuntungan daripada sistem kita.
Langkah menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 untuk golongan layak mungkin dipandang sinis sesetengah pihak, tetapi jika dinilai secara menyeluruh, ia sebahagian strategi fiskal yang lebih besar.
Ia bukan sekadar penjimatan beberapa sen, tetapi pelaburan semula dalam kebajikan rakyat yang layak, kestabilan ekonomi dan integriti sistem subsidi negara.
Malah, penyasaran subsidi ini memberi mesej jelas bahawa kerajaan tidak akan membiarkan wang rakyat mengalir keluar melalui ketirisan atau penyeludupan. Sebaliknya, setiap sen akan diusahakan untuk kembali memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang paling memerlukan.
Jika pelaksanaannya telus dan berkesan, langkah ini berpotensi mengubah persepsi sinis menjadi sokongan padu, kerana rakyat akan merasai sendiri kesan positifnya dalam kehidupan seharian. - Getaran, 17 Ogos 2025

