TAMPIN - Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat keputusan keluar parti berkuat kuasa pada Sabtu.
Menerusi surat bertarikh 11 Julai yang tersebar, turut dimaklumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tampin.
"Saya Ridzuan Ahmad dengan ini mengemukakan peletakan jawatan saya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tampin berkuat kuasa pada hari ini Sabtu, 11 Julai.
"Seiring dengan peletakan jawatan tersebut, saya juga ingin memaklumkan bahawa saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan keluar daripada keahlian Bersatu, berkuat kuasa pada tarikh yang sama," katanya dalam surat terbabit.
Jelasnya, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkannya dengan teliti dan beliau juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kepimpinan parti, ahli-ahli bahagian serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama, sokongan dan kepercayaan kepada saya sepanjang tempoh saya memegang amanah.
Beliau turut mendoakan agar parti terus maju dan berjaya pada masa hadapan.
Ridzuan dihubungi Sinar Harian mengesahkan mengenai surat berkenaan dan memaklumkan keputusannya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada parti melantik kepimpinan baharu yang disifatkan lebih baik untuk menerajui bahagian Tampin
"Saya merasakan saya perlu mencari satu wadah baharu dalam perjuangan politik saya. Insya-ALLAH dalam waktu terdekat saya akan buat keputusan," katanya.
Ditanya sama ada keputusannya itu berkaitan dengan pergolakan dalaman parti itu yang sedang berlaku sekarang, Ridzuan enggan mengulas lanjut.





