
SETIAP kali menjelang pilihan raya akan timbul momokan “Islam dan Melayu sedang terancam. Bersatulah Melayu!”. Saya bersetuju dengan kenyataan tersebut. Soalnya, siapa sebenarnya yang sedang mengancam kita’.
Menurut Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, “Orang Melayu tidak perlukan DAP untuk berpecah-belah. Orang Melayu sendiri memang cukup berkebolehan untuk berbuat demikian.” Menggambarkan musuh sebenar yang mengancam kedudukan Islam dan Melayu ialah orang Melayu itu sendiri.
Sejarah turut membuktikan kenyataan tersebut. Apabila berlaku perebutan kuasa di Perak, antara kerabat dan pembesar-pembesar Melayu, Raja Muda Abdullah menjemput Inggeris untuk menjadi orang tengah. Maka termateri Perjanjian Pangkor 1874, yang merupakan titik mula kemasukan Inggeris ke tanah Melayu. Tanah Melayu mula tergadai disebabkan perbalahan sesama Melayu.
Hari ini, yang meleburkan RM13 bilion simpanan orang Melayu Islam di Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang melibatkan tanah rancangan majoriti Melayu, kerugian hampir RM10 bilion.
Bak kata Dr. Zaharuddin, “Persoalan pentingnya ialah bersatu di bawah pimpinan siapa? Untuk tujuan apa? Dengan agenda apa? Setelah bersatu, apakah perubahan yang akan berlaku dalam kehidupan rakyat?”
Pihak yang memomokkan orang Melayu dengan naratif “Islam dan Melayu sedang terancam. Bersatulah Melayu!”, sebenarnya sedang disiasat atas kerugian TH dan Felda. Adakah ini orangnya yang kita perlu bersatu?
Kelemahan Melayu ialah kita terlalu mudah diperkotak-katikkan dengan naratif Islam, Melayu dan raja-raja Melayu.
Ancaman sebenar Islam dan Melayu ialah apabila kita membutakan mata, memekakkan telinga dan mematikan hati nurani dari melihat, mendengar dan merasa keadaan yang sedang berlaku. Kita terlalu mudah terpesona dengan dongeng yang mencipta musuh yang tidak wujud untuk menakutkan kita lalu, berlindung di bawah payung yang berlubang seribu.
Bukalah mata, dengarkan dengan telinga, hidupkan hati nurani dan buat pilihan yang betul, dengan siapa harus kita bersatu. Perlukah kita bersatu dengan pihak yang terbukti telah melakukan penyelewengan? Manakala pihak yang satu lagi gemar menaburkan kenyataan yang berbau fitnah, tanpa bukti yang jelas.
Saya tidak nafikan bahawa Melayu perlu bersatu, tetapi bersatu dengan siapa dan untuk apa? Bersatu atas kepentingan politik untuk memancing undi tidak akan membawa apa-apa kebaikan untuk orang Melayu. Melayu harus bijak memilih, jangan memilih kawan yang membawa rebah, pilihlah kawan yang ikhlas untuk memartabatkan bangsanya. –UTUSAN
NORUDDIN IDRIS
Kuala Lumpur
The post Siapa ancaman sebenar Melayu Islam? appeared first on Utusan Malaysia.






