Muktamar:  Konsep ta’awun siyasi beri kesan ketara corak pengundian PRN

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 10:42 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Muktamar:  Konsep ta’awun siyasi beri kesan ketara corak pengundian PRN

KOTA BHARU: Agenda penyatuan ummah perlu terus diangkat bagi menyatupadukan umat Islam dan memperkukuh kuasa politik Islam di Malaysia serta tidak seharusnya terhenti selepas pilihan raya negeri (PRN) sahaja.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahya berkata, cabaran yang perlu dihadapi bukan sekadar menyedarkan masyarakat Islam, malah membina kepercayaan dalam kalangan golongan bukan Islam yang mungkin terperangkap dengan permainan politik perkauman.

Katanya, perkembangan pada PRN Negeri Sembilan menunjukkan kerjasama politik berasaskan konsep ta’awun siyasi mampu memberi kesan terhadap corak pengundian.

“Walaupun kerjasama yang ada dalam PRN Negeri Sembilan adalah bersifat ta’awun siyasi yang longgar dan tidak mengikat mana-mana pihak, sekurang-kurangnya ia memberikan kesan yang ketara kepada corak pengundian dalam pilihan raya tersebut.

“Kejayaan berkenaan membuktikan agenda penyatuan ummah mempunyai ruang untuk dikembangkan sebagai satu gagasan yang lebih besar, bukan sekadar kerjasama yang muncul ketika pilihan raya,” katanya semasa menyampaikan ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas  Kali Ke-65 di sini, hari ini.

Ahmad berkata, usaha itu perlu disokong dengan pengukuhan tarbiah, organisasi dan jentera supaya agenda berkenaan dapat digerakkan secara tersusun serta berterusan.

“Ulama Rabbani mempunyai peranan penting dalam memastikan mesej dan aspirasi penyatuan ummah difahami masyarakat, khususnya umat Islam selain membina keyakinan golongan bukan Islam terhadap gagasan perpaduan yang dibawa,” ujarnya.

Pada masa sama, Ahmad mengingatkan jentera Pas tidak boleh leka dengan kemenangan yang diraih itu kerana masih banyak PRN pada masa akan datang.

“Kita masih mempunyai beberapa siri pilihan raya lagi iaitu di Melaka dan Sarawak termasuk ujian yang lebih mencabar iaitu Pilihan Raya Uumum Ke-16 (PRU16) yang bakal menguji keutuhan serta kekuatan sebenar kuasa politik Melayu-Islam. 

“Kita tidak seharusnya leka dibuai kemenangan yang ada, bahkan perlu terus bekerja dengan lebih kuat bagi memastikan politik Melayu-Islam terus berada di persada politik tanah air,” katanya. – UTUSAN

 

The post Muktamar:  Konsep ta’awun siyasi beri kesan ketara corak pengundian PRN appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved