Ulama Pas mahu Penyatuan Ummah tembusi pengundi bukan Islam

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 10:25 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ulama Pas mahu Penyatuan Ummah tembusi pengundi bukan Islam
Ahmad berucap sempena Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Kali Ke-65 pada Khamis.

KOTA BHARU - Agenda Penyatuan Ummah perlu diperluaskan sehingga mampu menembusi kelompok pengundi bukan Islam, bukan sekadar menjadi naratif politik yang dimainkan menjelang pilihan raya.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, golongan ulama Rabbani perlu memainkan peranan lebih besar untuk membina keyakinan masyarakat bukan Islam terhadap gagasan berkenaan, selain memastikan ia tidak terus dilihat sebagai agenda yang hanya menguntungkan orang Melayu.

Menurut beliau, persepsi tersebut perlu diperbetulkan kerana Penyatuan Ummah pada hakikatnya membawa mesej perpaduan yang lebih luas untuk membentuk keharmonian dalam masyarakat majmuk.

"Malangnya, sesetengah pihak hanya menganggap Penyatuan Ummah dalam kalangan orang Melayu, sekali gus mengenepikan golongan bukan Islam.

"Hakikatnya, Penyatuan Ummah adalah perpaduan untuk semua. Di mana tunjangnya bertapak, di situ rimbunnya berpadu," katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Kali Ke-65 yang disempurnakan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di sini pada Khamis.

Ahmad memberitahu, cabaran utama adalah membentuk kepercayaan dalam kalangan bukan Islam terhadap agenda berkenaan, khususnya apabila mereka terdedah kepada naratif politik perkauman yang menurutnya dimainkan pihak tertentu.

Jelas beliau, mesej Penyatuan Ummah perlu disampaikan secara lebih tersusun dan konsisten supaya masyarakat bukan Islam memahami bahawa gagasan itu bukan semata-mata strategi untuk mendapatkan sokongan politik ketika pilihan raya.

Dalam pada itu, ujar Ahmad, agenda Penyatuan Ummah juga tidak wajar terhenti selepas pilihan raya sebaliknya perlu menjadi usaha berterusan bagi mengembalikan kesatuan umat Islam serta memperkukuh kuasa politik umat Islam di Malaysia.

Menurutnya, perkembangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menunjukkan kerjasama politik berasaskan konsep ta'awun siyasi mampu memberi kesan terhadap corak pengundian.

"Walaupun kerjasama yang ada dalam PRN Negeri Sembilan adalah bersifat ta'awun siyasi yang longgar dan tidak mengikat mana-mana pihak, sekurang-kurangnya ia memberikan kesan yang ketara kepada corak pengundian dalam pilihan raya tersebut," katanya.

Tambah beliau, kejayaan berkenaan membuktikan agenda Penyatuan Ummah mempunyai ruang untuk dikembangkan sebagai satu gagasan yang lebih besar, bukan sekadar kerjasama yang muncul ketika pilihan raya.

Katanya, usaha itu perlu disokong dengan pengukuhan tarbiah, organisasi dan jentera supaya agenda berkenaan dapat digerakkan secara tersusun serta berterusan.

"Ulama Rabbani mempunyai peranan penting dalam memastikan mesej dan aspirasi Penyatuan Ummah difahami masyarakat, khususnya umat Islam, selain membina keyakinan golongan bukan Islam terhadap gagasan perpaduan yang dibawa," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved