Penyelia kilang mengaku tidak bersalah rasuah anggota polis

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 1:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penyelia kilang mengaku tidak bersalah rasuah anggota polis
Dhivan (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan memberi rasuah kepada anggota URB IPD Segamat tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang penyelia kilang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan memberi rasuah RM18,500 kepada seorang anggota polis pada Januari tahun lalu.

Tertuduh, M Dhivan, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak berusia lima dan dua tahun itu secara rasuah memberi suatu suapan, iaitu wang tunai RM18,500 kepada anggota polis yang bertugas di Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Perbuatan tersebut dilakukan sebagai dorongan untuk anggota polis berkenaan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap tertuduh dan rakan-rakannya yang memiliki rekod lampau jenayah serta kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 12(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan oleh tertuduh di Kilometer 1.89 Jalan Buloh Kasap-Segamat, Segamat.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Fazal Lisam Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam K Nahtan.

Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah supaya menetapkan jaminan pada kadar maksimum sebagai pengajaran kepada masyarakat umum.

Nahtan dalam rayuannya memaklumkan bahawa anak guamnya bekerja sebagai penyelia kilang dengan pendapatan RM2,000 sebulan, isterinya tidak bekerja dan mempunyai tanggungan dua anak yang masih kecil.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah RM6,000 selain perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Ipoh setiap bulan.

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 5 Jun depan.