Sime Darby Property rancang penyenaraian REIT menjelang 2028, sasar aset pusat data dan industri - Maybank IB

4 Nov 2026 • 12:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sime Darby Property rancang penyenaraian REIT menjelang 2028, sasar aset pusat data dan industri - Maybank IB Image from: Sime Darby Property rancang penyenaraian REIT menjelang 2028, sasar aset pusat data dan industri - Maybank IB hamden04/11/2026 - 12:23 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov – Sime Darby Property Bhd sedang meneroka potensi penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) menjelang 2028 yang memfokuskan aset perindustrian dan pusat data domestik bagi membuka nilai aset serta meningkatkan pendapatan berulang kumpulan.

 

Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), langkah itu merupakan antara dua saluran utama yang sedang diteliti pemaju hartanah berkenaan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjangnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penubuhan REIT berkenaan berpotensi membolehkan Sime Darby Property merealisasikan nilai aset sedia ada, mengitar semula modal untuk membiayai pembangunan baharu dan memperkukuh aliran pendapatan berulang.

 

“Saluran aset berpotensi syarikat itu merangkumi dua pusat data yang disokong pajakan selama 20 tahun, selain aset logistik dan gudang di E-Metro Logistics Park di Klang, yang dibangunkan menerusi usaha sama dengan ESR Group,” menurut Maybank IB dalam nota penyelidikan selepas taklimat bersama kumpulan itu baru-baru ini.

 

Taman perindustrian berat

Selain meneroka REIT, Sime Darby Property turut memperluas perniagaannya melangkaui pembangunan perindustrian ringan dan sederhana kepada taman perindustrian berat menerusi usaha sama, selain meneroka projek tenaga solar untuk menyokong pelanggan sektor perindustrian dan pusat data.

 

Pengembangan ke segmen perindustrian berat diterajui pembangunan hab perindustrian dan logistik BBR North seluas 1,021.9 ekar di Mukim Jeram, Kuala Selangor yang dijadualkan dilancarkan pada separuh kedua 2027.

 

Projek itu dibangunkan menerusi usaha sama dengan SD Guthrie Bhd, selain kumpulan turut menerima minat daripada pelabur asing, khususnya dari China.

 

Dalam segmen tenaga solar pula, Sime Darby Property sedang meneroka potensi pembangunan di kawasan simpanan tanah bukan terasnya, termasuk di Kedah, bagi membekalkan tenaga hijau kepada pelanggan perindustrian dan pusat data.

 

Maybank IB berpandangan positif terhadap potensi usaha sama solar itu kerana model berkenaan boleh mengurangkan komitmen modal awal, membuka nilai tanah dan menjana pendapatan berulang.

 

“Usaha sama solar berpotensi meminimumkan komitmen modal awal, membuka nilai tanah dan menjana pendapatan berulang, selain menawarkan penyelesaian perindustrian bersepadu yang membezakan Sime Darby Property daripada pesaingnya,” menurut firma penyelidikan itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved