amree10/08/2026 - 16:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos – See Hup Consolidated Berhad tetap meletakkan tahap kewaspadaan yang tinggi dalam usaha mendepani pelbagai landskap operasi sektor logistik semakin mencabar akan datang.
Menurut kumpulan tersebut, langkah itu terutamanya bagi menangani trend kenaikan kos operasi dan turun naik harga bahan api yang memberi tekanan secara langsung kepada margin keuntungan semasa.
Situasi ini katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, dipengaruhi oleh persekitaran perdagangan global yang sangat tidak menentu, termasuk kesan daripada kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS).
"Ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah, serta krisis di Laut Merah mengakibatkan gangguan rantaian bekalan dan transit yang lebih panjang kepada semua operator logistik," jelas See Hup.
Walaupun berdepan naratif ekonomi yang sukar, ia membuktikan daya tahan perniagaan dan mencatatkan pemulihan prestasi dengan kembali meraih keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Berdasarkan laporan tahunannya, kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM0.18 juta, berbanding kerugian RM3.22 juta pada FY25, meskipun hasil keseluruhan susut 3.8% kepada RM114 juta.

Segmen perkhidmatan pengangkutan kekal menjadi nadi utama pendapatan See Hup, namun turun kira-kira 4.15% kepada RM110 juta berikutan permintaan pasaran yang lebih perlahan akibat tekanan luaran.
"Bagi menangani risiko kenaikan kos, ia memanfaatkan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), serta memperkukuh kecekapan operasi melalui pemantauan bahan api tidak efisien," katanya.
Pemulihan kepada keuntungan ini turut didorong oleh ketiadaan kerugian kemerosotan nilai dalam segmen perdagangan dan sewa jentera, selain diperkukuh keuntungan tinggi daripada syarikat sekutu.
Dalam segmen lain, hasil pegangan hartanah dan pelaburan See Hup naik kepada RM1.52 juta susulan pengoptimuman ruang simpanan, manakala segmen perdagangan kini fokus kepada penyewaan peralatan.
Dari sudut pengurusan modal, Lembaga Pengarah mengambil pendekatan berhati-hati dengan tiada dividen bagi FY26 demi mengekalkan fleksibiliti kewangan dan memastikan sumber dana mencukupi.
"Melangkah ke hadapan, kumpula kekal optimis dengan menyasarkan peluang melalui projek prasarana dan pengukuhan perdagangan serantau bagi memacu pertumbuhan jangka panjang," katanya. - DagangNews.com






