Pelupusan tanah di Cyberjaya mampu kukuhkan MRCB, kata MBSB Research

Business & FinanceProperty
10 Aug 2026 • 9:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelupusan tanah di Cyberjaya mampu kukuhkan MRCB, kata MBSB Research Image from: Pelupusan tanah di Cyberjaya mampu kukuhkan MRCB, kata MBSB Research hamden10/08/2026 - 09:25 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Ogos -  Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dilihat berada pada landasan pertumbuhan yang lebih kukuh menerusi strategi kitar semula modal, penjanaan semula nilai aset tanah serta pengembangan ke dalam infrastruktur digital, menurut MBSB Research.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘BELI’ terhadap MRCB dengan harga sasaran (TP) RM0.40, berdasarkan penilaian pada nisbah harga kepada nilai buku (P/B) sebanyak 0.39 kali, iaitu satu sisihan piawai (+1SD) di atas purata tiga tahun.

 

Menurut MBSB Research, secara asasnya, momentum kumpulan dijangka terus disokong oleh projek infrastruktur awam utama termasuk STC Laluan Mutiara Pulau Pinang, lima stesen LRT3 yang dikembalikan semula serta Kompleks Sukan Shah Alam pada tahun kewangan 2026 (FY26).

 

Selain sektor pengangkutan, MRCB turut aktif mengejar projek berkaitan iklim seperti mitigasi banjir, tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur air, yang berpotensi menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

 

Dalam masa sama, MRCB sedang membangunkan sebuah pusat data bersedia AI berkapasiti 65 megawatt (MW) di Bukit Jalil dengan nilai pembangunan kira-kira RM2.1 bilion, di bawah cadangan pajakan selama 10 tahun.

 

Projek berkenaan merupakan langkah sulung MRCB ke dalam infrastruktur digital, selain membolehkan kumpulan membuka nilai daripada bank tanahnya menerusi potensi pendapatan sewaan berulang.

 

Pelupusan Tanah Cyberjaya RM419.1 juta

Namun paling menonjol dalam usaha pengukuhan saham MRCB ialah cadangan pelupusan 36.66 ekar tanah di Cyberjaya kepada Digital Cosmos Malaysia pada nilai tunai RM419.1 juta, bersamaan kira-kira RM210 sekaki persegi.

 

Daripada hasil pelupusan tersebut, MRCB bercadang menggunakan sekitar RM350 juta atau 84% bagi membayar balik pinjaman.

 

Langkah itu dijangka menjana penjimatan faedah kasar tahunan sebanyak RM14.8 juta, manakala pelupusan berkenaan dijangka menghasilkan keuntungan pro forma sebanyak RM81.4 juta.

 

"Dari perspektif kunci kira-kira, gearan pro forma MRCB dijangka bertambah baik daripada 0.55 kali kepada 0.47 kali, sementara gearan bersih berkurangan daripada 0.41 kali kepada 0.31 kali.

 

"Lebih menarik, pelupusan tersebut mencerminkan pulangan atas pelaburan (ROI) sebanyak 27.2% ke atas pelaburan MRCB bernilai RM299.7 juta yang dibuat pada Mac 2025, dalam tempoh hanya 17 bulan.," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Bank Tanah Luas Beri Ruang Pertumbuhan

MBSB Research berkata, pelupusan tanah Cyberjaya dan pembangunan pusat data 65MW di Bukit Jalil sebagai sebahagian daripada strategi dua serampang MRCB untuk mengoptimumkan bank tanahnya seluas 1,228 ekar, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) belum dibangunkan sebanyak RM23.3 bilion.

 

Strategi tersebut melibatkan penjanaan semula nilai aset tanah terpilih, sambil mengekalkan aset strategik yang berpotensi menjana pendapatan berulang.

 

Di Bukit Jalil, MRCB masih mempunyai kira-kira 67 ekar merangkumi dua plot yang boleh menyediakan ruang untuk pengembangan pusat data pada masa depan, selain pembangunan awal berkapasiti 65MW.

 

Tanah seluas 67.5 ekar di Pulai, Johor, dengan GDV belum dibangunkan sekitar RM770 juta, turut dilihat sebagai pilihan pertumbuhan jangka sederhana berikutan lokasinya yang berhampiran kluster pusat data sedia ada.

 

Unjuran Pendapatan

Buat masa ini, MBSB Research tidak mengubah unjuran pendapatan FY26E dan FY27F, memandangkan pelupusan tanah Cyberjaya hanya dijangka selesai pada 4QCY27.

 

Sehubungan itu, saranan ‘BELI’ dan harga sasaran RM0.40 bagi MRCB dikekalkan, berdasarkan penilaian 0.39 kali P/BV, iaitu satu sisihan piawai di atas purata tiga tahun.

 

Secara keseluruhannya, strategi kitar semula modal MRCB dilihat berpotensi mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan, di samping membuka sumber pertumbuhan baharu menerusi sektor pusat data dan infrastruktur digital. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved