Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Tindakan tidak berperikemanusiaan dua individu yang tergamak mencuri barang kemas daripada mayat seorang mangsa banjir akhirnya membawa padah apabila kedua-duanya berjaya ditahan pihak berkuasa Nepal.
Penahanan tersebut dilakukan selepas satu rakaman video menunjukkan aksi terkutuk itu tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.
Artikel berkaitan: 19 Jambatan Musnah, Talian Putus: Lebih 50 Rakyat Malaysia Masih Hilang di Nepal
Artikel berkaitan: Banjir Nepal : Kakak Lega Kawasan Adik Di Annapurna Terselamat
Berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Nepal di platform X, kejadian berkenaan dipercayai berlaku di tebing Sungai Bhotekoshi. Mayat mangsa ditemui terdampar di tebing sungai tersebut berikutan kejadian tanah runtuh dan banjir besar yang melanda kawasan berkenaan.
Melalui video berdurasi pendek yang telah dikaburkan oleh pihak polis, salah seorang suspek dilihat dengan tenang melucutkan subang emas daripada telinga mayat mangsa, manakala seorang lagi rakannya bertindak membantu dan mengawasi keadaan sekeliling.

Video penuh di sini.
Identiti Suspek Dikenal Pasti
Hasil siasatan pantas berasaskan bukti rakaman video tersebut, Polis Nepal berjaya mengesan dan menahan kedua-dua suspek di kawasan berhampiran Pokhara Bus Park, Bharatpur Metropolitan City-1.
Suspek utama dikenal pasti sebagai Madan Gurung, 25, yang berasal dari Killa, Nawalparasi (Binayi Triveni Rural Municipality-1). Ketika ditahan, dia menetap di rumah bapa saudaranya di Bharatpur.
Manakala rakan suspek yang membantu tindakan itu dikenal pasti sebagai Umesh Chaudhary, 38, yang berasal dari Chabila Municipality, Sunsari, dan kini menetap di Supari Tole, Bharatpur.
Pihak polis menyifatkan perbuatan tersebut sebagai amat melampaui batas kemanusiaan dan mengesahkan bahawa kes kini sedang disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Sumber: Hindustan Times
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.





