
HULU TERENGGANU – Seekor gajah jantan digelar Awang Kolam yang ditangkap selepas tersesat memasuki
Kampung Kolam, Ajil, di sini, minggu lalu berjaya dipindahkan Taman Negeri Royal Belum, Perak, hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, Awang Kolam terpaksa dipujuk selama kira-kira dua jam setengah sebelum naik ke atas lori secara sukarela pada pukul 11.30 pagi.
“Proses pemindahan tersebut dibantu gajah denak, Sanum dan Abot dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah. Proses memujuk gajah berkenaan (Awang Kolam) mengambil masa yang agak lama memandangkan ia gajah liar selain keutamaan diberikan terhadap keselamatan semua pihak,” katanya ketika ditemui di Kampung Kolam, Ajil, di sini hari ini.
Terdahulu, gajah jantan tersebut dikesan berkeliaran sehingga menggemparkan penduduk Kampung Kolam sejak 10 September lalu.
Sementara itu, proses pemindahan Awang Kolam bagaikan pesta apabila ia disaksikan lebih 1,000 penduduk kampung dan sekitar yang memenuhi kawasan tersebut sesudah solat subuh lagi. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih dua jam pujuk Awang Kolam naik lori ke Royal Belum appeared first on Kosmo Online.






