Perhilitan pantau pergerakan Sulong guna dron

26 Aug 2026 • 6:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Perhilitan pantau pergerakan Sulong guna dron
Abdul Kadir berkata Perhilitan melaksanakan pemantauan keadaan kecederaan gajah jantan dewasa dikenali Sulong dengan menggunakan dron - Foto: Perhilitan

KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melaksanakan pemantauan pergerakan gajah jantan liar dikenali Sulong menggunakan dron susulan pergerakannya di sekitar Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak sejak 17 Ogos lalu dengan kesan kecederaan di kaki.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, keadaan kecederaan pada kaki hadapan gajah berkenaan turut diberi perhatian dan dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan semasa di lapangan.

“Kehadiran Sulong (gajah) itu juga dikesan tular di media sosial dengan beberapa rakaman video.

“Jabatan Perhilitan mengambil cakna kebimbangan yang disuarakan masyarakat mengenai isu ini. Pada masa yang sama, anggota jabatan telah digerakkan untuk memantau pergerakan dan keadaan Sulong menggunakan dron serta pemantauan melalui jalan darat secara berkala,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya, berdasarkan pemantauan terkini, gajah itu tidak lagi dikesan berada di sepanjang jalan JRTB dan menuju Jeli.

Menurutnya, Sulong kini telah bergerak masuk ke kawasan hutan di Kelantan.

“Dron akan digunakan di lokasi yang bersesuaian bagi membantu mengesan pergerakan dan kedudukan gajah tersebut, selain pemantauan melalui jalan darat oleh anggota Perhilitan,” ujarnya.

Pada masa sama, Abdul Kadir berkata, sebarang tindakan untuk menyelamat dan mengendalikan Sulong hanya boleh dilaksanakan apabila gajah tersebut berada di lokasi yang sesuai dan selamat.

“Ini penting bagi memastikan tindakan yang dilaksanakan tidak mendatangkan risiko tambahan kepada gajah berkenaan serta tidak menjejaskan keselamatan anggota operasi dan orang awam,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Kadir menasihatkan pengguna jalan raya hendaklah sentiasa mematuhi arahan anggota penguat kuasa dan petugas Jabatan Perhilitan sekiranya berada di kawasan pemantauan, tidak mengambil gambar atau video gajah kerana tindakan tersebut boleh menyebabkan kenderaan berhenti dan mengganggu kelancaran aliran trafik.

“Pemberian makanan atau meletakkan makanan untuk gajah adalah ditegah di sepanjang JRTB,” ujarnya.

Jelasnya, sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi www.wildlife.gov.my.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved