Tular Gajah ‘Sulong Chalil’ Berjalan Di Gerik: Perhilitan Jalankan Pemantauan & Giring Ke Kawasan Hutan

26 Aug 2026 • 9:39 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Tular Gajah ‘Sulong Chalil’ Berjalan Di Gerik: Perhilitan Jalankan Pemantauan & Giring Ke Kawasan Hutan

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak semalam (25 Ogos), tular di media sosial perkongsian warganet mengenai seekor gajah yang dikenali sebagai Sulong Chalil yang dilihat berjalan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB).

Apa yang menjadi perhatian adalah haiwan berkenaan dipercayai mengalami kecederaan pada bahagian kakinya.

Perkongsian tular itu nyata mendapat perhatian sehingga ramai yang bersimpati malah mahu pihak berwajib melakukan sesuatu bagi membantu haiwan liar terbabit.

View on Threads
View on Threads
View on Threads

Perhilitan Adakan Pemantauan Berterusan Sejak 17 Ogos Lalu

Ekoran hantaran yang tular, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya telah menjalankan pemantauan secara berterusan sejak 17 Ogos lalu mengenai kehadiran gajah liar jantan yang dikesan berkeliaran di JRTB.

Jelas mereka, hasil pemantauan awal mendapati haiwan mamalia terbabit mengalami kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan.

“Bagaimanapun, keadaan fizikal dan tingkah lakunya adalah normal serta masih mampu makan dan bergerak dengan baik.

“Keadaan luka juga didapati semakin kering dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan,” katanya.

Perhilitan Ambil Tindakan Giring Gajah Ke Kawasan Hutan

Tambah Perhilitan, pihak mereka telahpun mengambil tindakan menggiring gajah berkenaan kembali ke kawasan hutan.

Malah, pihaknya terus melaksanakan pemantauan terhadap pergerakan serta keadaan haiwan tersebut di kawasan lapangan.

“Memandangkan mamalia itu masih kerap kembali ke kawasan jalan raya, operasi pemantauan dan kawalan ditingkatkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Pemantauan dan tindakan menggiringi akan diteruskan setiap hari dengan kekerapan dua kali sehari, iaitu pada waktu siang dan malam.

“Jabatan PERHILITAN turut memperkukuh kesiapasiagaan anggota di lapangan termasuk mendapatkan penilaian doktor veterinar bagi menentukan keadaan fizikal serta kecederaan gajah berkenaan dan keperluan tindakan susulan,” ujarnya.

Pengguna Dinasihatkan Sentiasa Berwaspada & Hati-Hati

Tambah mereka lagi, sebagai langkah pencegahan awal, orang ramai yang menggunakan JRTB khususnya di kawasan sekitar Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Titiwangsa dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati.

“Pengguna JRTB, khususnya di sekitar Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Titiwangsa, dinasihatkan supaya memperlahankan kenderaan, khususnya dalam lingkungan 5 kilometer sebelum tiba di Hentian R&R Titiwangsa dari kedua-dua arah,” jelasnya.

Pada masa sama, orang awam yang berada di kawasan pemantauan juga diminta untuk memberi kerjasama sepenuhnya mematuhi arahan penguat kuasa dan petugas Perhilitan.

“Pengguna diminta tidak mengambil gambar atau video gajah kerana tindakan itu boleh menyebabkan kenderaan berhenti dan mengganggu kelancaran aliran trafik.

“Pemberian makanan atau meletakkan makanan untuk gajah juga adalah ditegah sama sekali di sepanjang JRTB,” katanya.

Gajah Sulong Chalil Dipercayai Homesick , Mahu Pulang Ke Kampung Halaman

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai penampakan seekor gajah yang dikenali sebagai Sulong Chalil di sepanjang Jalan Raya Gerik-Jeli sejak 17 Ogos lalu.

Gajah tersebut dipercayai dalam perjalanan pulang ke habitat asalnya yang terletak di Gua Musang, Kelantan selepas dia dipindahkan ke Gerik, Perak.

Menurut seorang pengguna Facebook yang juga bekas guru, Mohd Fadli Salleh, gajah tersebut diberi nama Chalil sempena nama sebuah kampung di Gua Musang tempat haiwan berkenaan membesar.

“Lalu lalang kisah tentang gajah ini sejak semalam. Ramai rupanya tak tahu kisah sebenar gajah ini.

“Beberapa ketika dulu, penduduk di Gua Musang membuat aduan kerana ada kumpulan gajah masuk ke kebun dan membahayakan penduduk.

“Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pergi ke Gua Musang, menangkap Sulong sebelum memindahkannya ke hutan Gerik, Perak,” katanya.

Dakwa Mohd Fadli, haiwan itu dipercayai rindukan tempat asalnya menyebabkan dia berusaha pulang ke tempat asalnya.

“Sulong dipercayai homesick dan rindukan tempat asalnya. Dengan nalurinya, dia berjalan kaki berhari-hari.

“Sekarang Sulong dah dekat Jeli, dah berjalan lebih 100 kilometer melalui Banjaran Titiwangsa pulang ke tempat asal,” kongsinya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved