Sulong sudah masuk hutan Kelantan

LocalEnvironment
27 Aug 2026 • 12:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sulong sudah masuk hutan Kelantan

PETALING JAYA – Gajah jantan liar dikenali sebagai Sulong yang menjadi perhatian sejak beberapa hari lalu selepas bergerak di sepanjang Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, kini dilaporkan telah masuk ke kawasan hutan di Kelantan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, berdasarkan pemantauan terkini, Sulong tidak lagi dikesan berada di sepanjang jalan JRTB dan menuju Jeli.

“Jabatan Perhilitan mengambil cakna kebimbangan disuarakan masyarakat mengenai isu ini. Anggota jabatan telah digerakkan untuk memantau pergerakan dan keadaan Sulong menggunakan dron serta pemantauan melalui jalan darat secara berkala.

“Dron akan digunakan di lokasi yang bersesuaian bagi membantu mengesan pergerakan dan kedudukan gajah tersebut, selain pemantauan melalui jalan darat oleh anggota Perhilitan,” katanya.

Beliau berkata, sebarang tindakan untuk menyelamat dan mengendalikan Sulong hanya boleh dilaksanakan apabila gajah tersebut berada di lokasi sesuai dan selamat.

“Ini penting bagi memastikan tindakan yang dilaksanakan tidak mendatangkan risiko tambahan kepada gajah berkenaan serta tidak menjejaskan keselamatan anggota operasi dan orang awam,” katanya.

Abdul Kadir juga meminta pengguna jalan raya sentiasa mematuhi arahan anggota penguat kuasa dan petugas Jabatan Perhilitan dengan tidak mengambil gambar atau video gajah kerana tindakan tersebut boleh menyebabkan kenderaan berhenti dan mengganggu kelancaran aliran trafik.

Katanya, pemberian makanan atau meletakkan makanan untuk haiwan itu juga adalah ditegah di sepanjang JRTB. – KOSMO! ONLINE

The post Sulong sudah masuk hutan Kelantan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved