‘Sulong’ terus jadi perhatian, PERHILITAN pantau gajah liar cedera di JRTB Gerik

LocalEnvironment
26 Aug 2026 • 9:38 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Gajah ‘Sulong’ berjalan di Jalan Raya Timur Barat, Gerik

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak meneruskan pemantauan terhadap seekor gajah liar jantan dewasa yang dikesan berkeliaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik sejak 17 Ogos lalu.

Menurut PERHILITAN, gajah berkenaan mengalami kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan, namun keadaan fizikal dan tingkah lakunya masih normal serta mampu makan dan bergerak dengan baik.

Keadaan luka pada kaki gajah berkenaan juga didapati semakin kering dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Jabatan itu telah mengambil tindakan menggiring gajah terbabit kembali ke kawasan hutan selain memantau pergerakan serta keadaannya.

Bagaimanapun, gajah berkenaan masih kembali ke kawasan jalan raya menyebabkan pemantauan dan tindakan menggiring diteruskan setiap hari, dua kali sehari pada waktu siang dan malam.

Baca juga:

PERHILITAN turut memperkukuh kesiapsiagaan anggota di lapangan termasuk mendapatkan penilaian doktor veterinar bagi menentukan keadaan fizikal, kecederaan dan keperluan tindakan susulan terhadap gajah berkenaan.

Sebagai langkah pencegahan, pengguna JRTB khususnya di sekitar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa dinasihatkan memperlahankan kenderaan, terutama dalam lingkungan lima kilometer sebelum tiba di R&R berkenaan dari kedua-dua arah.

Pengguna jalan raya juga diminta mematuhi arahan anggota penguat kuasa dan petugas PERHILITAN sekiranya berada di kawasan pemantauan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mengambil gambar atau video gajah kerana tindakan itu boleh menyebabkan kenderaan berhenti dan mengganggu kelancaran aliran trafik.

Pemberian makanan atau meletakkan makanan untuk gajah juga ditegah di sepanjang JRTB.

Terdahulu, beberapa gambar dan video yang memaparkan seekor gajah berjalan di sepanjang laluan Gerik-Jeli tular di media sosial sejak 17 Ogos lalu.

Hantaran berkenaan mendakwa gajah itu dikenali sebagai ‘Sulong Chalil’, yang sebelum ini berada di kawasan Gua Musang, Kelantan sebelum dipindahkan ke kawasan hutan di Gerik susulan aduan penduduk mengenai kumpulan gajah yang memasuki kawasan kebun.

Turut tular dakwaan bahawa gajah berkenaan cuba kembali ke kawasan asalnya selepas dipindahkan dan telah bergerak lebih 100 kilometer melalui Banjaran Titiwangsa.

Dalam pada itu, PERHILITAN mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak berhenti atau keluar dari kenderaan sekiranya hidupan liar berada di bahu jalan dan tidak menunjukkan tingkah laku agresif atau sebarang bentuk provokasi.

Orang awam yang menggunakan JRTB, khususnya laluan sekitar Gerik dan R&R Titiwangsa, diminta sentiasa berhati-hati, tidak panik serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

The post ‘Sulong’ terus jadi perhatian, PERHILITAN pantau gajah liar cedera di JRTB Gerik appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved