
KUALA TERENGGANU: Insiden terkena periuk api ketika menjalankan tugas pada 1978 menjadi peristiwa yang tidak dapat dilupakan seorang bekas tentera selepas letupan itu meragut penglihatan mata kanannya buat selama-lamanya.
Malah setiap kali teringatkan kejadian itu, hati Koperal Salleh Busu, 75, tersentuh sehingga mengalirkan air mata.
Ketika kejadian, Salleh yang ketika itu berusia 20-an ditugaskan sebagai pemusnah bom dalam operasi pembersihan kawasan di sempadan Malaysia-Thailand, selepas berlaku pertempuran dengan kumpulan komunis di Gubir, Kedah.
Katanya, selepas pertempuran, pasukannya diarah membersihkan kawasan berkenaan bagi memastikan tiada lagi jerangkap samar yang boleh mengancam keselamatan anggota.
“Esoknya kami bersihkan kawasan dan saya ditugaskan sebagai pemusnah bom. Saya mengesan antara lapan hingga 10 biji periuk api. Ketika hendak membersihkan salah satu daripadanya, periuk api tersebut meletup.
“Letupan menyebabkan kedua-dua mata saya cedera. Mata kanan terus tidak dapat melihat manakala mata kiri masih boleh melihat tetapi tidak jelas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Tangga, di sini.
Salleh berkata, dia menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang kira-kira sebulan sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera di Kuala Lumpur untuk rawatan susulan selama lebih setahun.
Katanya, hasil rawatan tersebut, penglihatan mata kirinya hanya pulih sekitar 40 peratus manakala mata kanan kekal buta.
“Bagi seorang tentera, kejadian seperti itu memang sukar dilupakan. Tetapi saya tidak mahu berhenti setakat itu kerana masih mahu berkhidmat dan melakukan tugas yang termampu,” katanya.
Salleh yang mula menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1971 menamatkan perkhidmatan pada 1992 selepas 21 tahun berbakti kepada negara.
Sepanjang tempoh tersebut, dia yang bertugas di Kem 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Pulau Pinang pernah terlibat dalam pelbagai operasi keselamatan termasuk Operasi Gerakan Gubir 5 bersama pasukan Thailand.
Menurutnya, kehidupan sebagai anggota tentera ketika itu banyak dihabiskan di dalam hutan bagi menjayakan operasi.
“Kadangkala dua bulan kami berada di dalam hutan dan sebulan di kem. Memang banyak masa dihabiskan dalam hutan kerana operasi biasanya memakan masa lama. Ramai rakan seperjuangan saya cedera, malah ada yang putus kaki selepas terkena periuk api. Kami sudah biasa berdepan keadaan seperti itu ketika menjalankan tugas,” katanya.
Selepas kecederaan tersebut, Salleh berkata, dia ditukarkan ke Kem Batalion 512 Askar Wataniah di Padang Midin, di sini untuk bertugas sebagai operator yang lebih bersesuaian dengan keadaan penglihatannya.-UTUSAN.
The post Periuk api ragut mata kanan veteran perang appeared first on Utusan Malaysia.




