
KANGAR: Kem angkat berat Perlis menyasarkan empat pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 dalam mempertahankan gelaran juara keseluruhan acara tersebut.
Ketua jurulatih skuad angkat berat Perlis, Mohd Faiz Musa berkata, setiap atlet telah membuat persediaan sebaiknya dalam membawa cabaran pada kali ini untuk mempertahankan kejuaraan diraih dalam Sukma Sarawak 2024.
Katanya, buat masa ini, para atlet memberi tumpuan kepada angkatan pertama dan berat badan bagi mengelakkan sebarang kecederaan sebelum berlangsungnya kejohanan itu.
“Kita mempunyai beberapa atlet prospek yang dilihat mampu menyumbang pingat buat Perlis dan bersaing dengan atlet-atlet dari negeri lain,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Pada Sukma Sarawak 2024, kem angkat berat Perlis berjaya menyumbangkan empat pingat emas, dua perak dan dua gangsa, sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Ujar Mohd Faiz, negeri yang dijangka memberi saingan buat atlet angkat berat Perlis pada Sukma kali ini adalah dari Terengganu.
“Saya harap atlet kita dapat membuat angkatan yang sempurna dan saya selalu pesan bahawa prestasi semasa mereka di pentas latihan adalah tidak sama dengan di pentas perlawanan.
“Jadi mereka harus fokus dan sentiasa berada dalam momentum terbaik agar dapat membuat angkatan mengatasi rekod peribadi,” katanya. – UTUSAN
CAPTION
MOHD Faiz Musa (kanan) meninjau proses latihan atlet angkat berat di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
The post Perlis optimis pertahan juara angkat berat Sukma appeared first on Utusan Malaysia.






