Perlumbaan Endurance 300KM Jadi Tumpuan Pusingan Ketiga Malaysia Touring Car Championship (MTCC) di Sepang

25 Jul 2026 • 12:15 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: Perlumbaan Endurance 300KM Jadi Tumpuan Pusingan Ketiga Malaysia Touring Car Championship (MTCC) di Sepang

SEPANG, 23 Julai 2026 – Malaysia Touring Car Championship (MTCC) kembali menggegarkan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) pada hujung minggu ini menerusi Pusingan Ketiga yang berlangsung dari 24 hingga 26 Julai 2026, dengan perlumbaan Endurance 300KM menjadi acara kemuncak.

Dibawa lebih awal berbanding kebiasaan dalam kalendar musim ini, perlumbaan endurance dijangka menjadi penentu penting dalam perebutan kejuaraan keseluruhan MTCC 2026.

Berbeza daripada format perlumbaan pecut pada dua pusingan terdahulu, Endurance 300KM menguji keupayaan pasukan secara menyeluruh menerusi gabungan strategi, ketahanan jentera dan kerjasama antara pemandu serta kru pit. Perlumbaan sejauh 54 pusingan atau maksimum 2 jam 30 minit itu mewajibkan setiap pasukan melakukan dua hentian pit, pertukaran pemandu dan pengisian bahan api dengan sempurna.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, perlumbaan endurance sentiasa menjadi antara aksi yang paling dinantikan kerana kejayaan bukan hanya bergantung kepada kelajuan pemandu, malah prestasi keseluruhan pasukan termasuk strategi perlumbaan, kejuruteraan serta kecekapan ketika hentian pit.

Beliau turut menegaskan bahawa MTCC terus menjadi platform penting dalam pembangunan bakat tempatan selain memperkukuhkan ekosistem sukan permotoran Malaysia.

Saingan kejuaraan juga semakin sengit menjelang Pusingan Ketiga. Leon Khoo kini mendahului kategori Touring Production (TP), manakala Chiow Teck Song terus menguasai kelas TP2. Dalam kategori MTC pula, Ken Wu dan Russel Tan berkongsi kedudukan teratas dengan 50 mata, menjanjikan persaingan yang cukup menarik.

Bagi kategori MT2-V, Divvyesh Perajun dan Harkiesh Geeva berada di hadapan carta kedudukan, sementara Ady Rahimy Rashid bersama Najiy Ayyad mendahului kategori MT2-G. Format endurance dijangka mampu mengubah kedudukan keseluruhan kejuaraan dalam semua kategori.

Selain aksi MTCC, hujung minggu ini turut dimeriahkan dengan perlumbaan sokongan termasuk Toyota Vios Challenge, Toyota GR86 Cup Malaysia Series dan Asia Classic Car Challenge, sekali gus menawarkan aksi perlumbaan yang padat sepanjang tiga hari di Sepang.

Pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti Race2Learn@SIC yang memberi peluang kepada pelajar melihat sendiri operasi di sebalik tabir industri sukan permotoran, SIC Virtual Hot Laps Challenge dengan peluang memenangi baucar tayar Hankook bernilai RM1,760, selain pengalaman Taxi Ride yang membawa penumpang mengelilingi litar pada kelajuan tinggi.

Turut membuat penampilan sulung di MTCC ialah program Gymkhana X Coaching oleh Wheelspin Motorsport Club yang memperkenalkan asas pemanduan berketepatan tinggi menerusi latihan kawalan kenderaan, membrek, mengambil selekoh dan pengendalian kereta.

TV Sarawak kekal sebagai rakan penyiaran percuma (Free-to-Air) MTCC, membolehkan peminat di seluruh negara mengikuti aksi perlumbaan. Kemasukan ke Grandstand Utama adalah percuma, manakala akses ke Paddock ditawarkan bermula RM100 dan pakej Paddock Hospitality bermula RM378.

The post Perlumbaan Endurance 300KM Jadi Tumpuan Pusingan Ketiga Malaysia Touring Car Championship (MTCC) di Sepang appeared first on TW Media.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved