hamden18/11/2026 - 10:07 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov - Peningkatan permintaan air susulan perkembangan pesat sektor perindustrian dan pusat data (DC) di Johor dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan keuntungan jangka panjang Ranhill Utilities Bhd, khususnya menerusi operasi anak syarikatnya, Ranhill SAJ.
MBSB Research berkata, prospek itu disokong unjuran permintaan air di Johor yang dijangka berkembang 4.2% setahun dalam tempoh lima tahun akan datang, manakala permintaan air terawat di negeri itu diunjurkan meningkat kira-kira 300 juta liter sehari (MLD) menjelang 2029.
"Perkembangan berkenaan membuka peluang kepada Ranhill SAJ untuk memperkukuh sumbangan pendapatannya kepada kumpulan, seiring peningkatan keperluan bekalan air bagi menyokong pertumbuhan pusat data, aktiviti perindustrian serta pelaburan baharu di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
MBSB Research berpandangan, pertumbuhan ekosistem perindustrian dan pusat data di Johor akan terus menyokong prospek jangka panjang Ranhill SAJ, meskipun peningkatan kos penyelenggaraan berkaitan air tidak berhasil (NRW) memberi tekanan kepada keuntungan kumpulan pada suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27).
Antara pemangkin utama kepada pertumbuhan itu ialah pembangunan dua loji rawatan air (WTP) baharu yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti bekalan air di Johor.
Loji Semangar berkapasiti 50 MLD dijadualkan mula beroperasi pada FY27, manakala Loji Sultan Iskandar 2 Fasa 2 berkapasiti 160 MLD dijangka siap pada 2028.
"Pelaburan infrastruktur itu penting bagi memastikan Ranhill SAJ mempunyai kapasiti mencukupi untuk memenuhi pertambahan permintaan air, selain menyediakan asas kepada pertumbuhan pendapatan daripada peningkatan penggunaan air pada masa hadapan," katanya.
Cadangan memiliki aset air terpilih
Sementara itu RHB Research berpandangan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada Ranhill SAJ Holdings Sdn Bhd (RAHH) untuk meneroka kemungkinan memiliki aset air terpilih berpotensi membolehkan kumpulan itu merancang pengembangan kapasiti rawatan air dengan lebih baik bagi menampung sebarang lonjakan permintaan.
Antara perkembangan yang boleh menyokong prospek tersebut ialah pembangunan Nexus Sedenak, taman perindustrian seluas 2,940 ekar di Sedenak, Johor, yang berpotensi meningkatkan keperluan bekalan air di kawasan berkenaan.
Pemaju projek itu, Southern Catalyst, telah mempelawa tender bagi pembinaan sistem bekalan air Zon 1 dengan kapasiti awal 12 juta liter sehari (MLD), yang boleh ditingkatkan sehingga 32.5 MLD.
"Perkembangan itu mencerminkan keperluan memperluas infrastruktur bekalan air bagi menyokong pembangunan kawasan perindustrian baharu," katanya.
RHB Research mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran baharu RM3.06 berbanding RM3.26 sesaham sebelum ini dengan membayangkan potensi kenaikan sekitar 15%, termasuk premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 4%.
MBSB Research pula mengekalkan unjuran pendapatan FY27 tanpa sebarang perubahan, selain mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap saham Ranhill Utilities dengan harga sasaran berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOTP) tidak berubah pada RM2.84. - DagangNews.com





