Permintaan lemah segmen OEM jejaskan pendapatan APM Automotive kepada RM475.6 juta bagi 2QFY26

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 5:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permintaan lemah segmen OEM jejaskan pendapatan APM Automotive kepada RM475.6 juta bagi 2QFY26 Image from: Permintaan lemah segmen OEM jejaskan pendapatan APM Automotive kepada RM475.6 juta bagi 2QFY26 amree21/08/2026 - 17:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos — Kemerosotan ketara permintaan daripada segmen pengeluar peralatan asli (OEM) serta pasaran eksport menjejaskan hasil APM Automotive Holdings Berhad bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY26), yang menyusut kepada RM475.61 juta.

 

Isu penurunan kira-kira 3.4% ini turut mencerminkan cabaran sengit dihadapi oleh industri komponen automotif tempatan, yang kini bergelut dengan lambakan produk import kos rendah dalam pasaran alat ganti (REM).

 

Bagaimanapun menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, di sebalik tekanan ini, prospek jangka panjang syarikat tetap dipelihara oleh jumlah volum industri (TIV) keseluruhan yang kukuh serta pelaksanaan strategi kecekapan rantaian bekalan.

 

"Meskipun berdepan penyusutan hasil, APM mempamerkan daya tahan operasi apabila mencatatkan peningkatan untung sebelum cukai (PBT) sebanyak 12.9% kepada RM28.88 juta bagi suku di bawah tinjauan berbanding RM25.57 juta pada Q2 2025," katanya.

 

Lonjakan keuntungan kasar ini menyerlahkan kecekapan pengurusan kos kumpulan walaupun dalam persekitaran pasaran yang perlahan.

 

Menganalisis kemerosotan hasil disebabkan terutamanya oleh aktiviti pasaran OEM yang perlahan serta pasaran eksport dan REM kurang aktif. Jumlah hasil tersebut berbanding dengan RM492.59 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.

 

APM_DagangNews2026

 

Peningkatan PBT pula disokong oleh campuran jualan yang lebih menguntungkan serta pergerakan kadar pertukaran wang asing memihak kepada kumpulan. Selain itu, sumbangan keuntungan syarikat bersekutu dan usaha sama (JV) yang tinggi, serta penjimatan kos pembiayaan berikutan pembayaran balik Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) pada suku ketiga tahun lalu turut membantu melonjakkan keuntungan.

 

Melihat kepada prestasi mengikut pecahan segmen, Bahagian Dalaman dan Plastik kekal sebagai penyumbang utama hasil APM dengan mencatatkan RM388.60 juta pada suku di bawah tinjauan. Bagaimanapun, hasil segmen ini menyusut 1.8% berbanding suku kedua tahun lalu akibat penurunan permintaan model kenderaan OEM tertentu, yang membawa penyusutan PBT segmen kepada RM30.88 juta.

 

Sebaliknya, Bahagian Suspensi menunjukkan prestasi positif dengan hasil meningkat marginal 0.6% kepada RM50.23 juta disokong permintaan daripada pasaran OEM tempatan, di samping kecekapan operasi dan kos pengeluaran yang lebih rendah, bahagian ini berjaya mencatatkan PBT sebanyak RM0.71 juta, pulih daripada kerugian sebelum cukai (LBT) RM0.20 juta pada 2QFY25.

 

Bagi Bahagian Elektrik dan Pertukaran Haba, hasil merosot 31.0% kepada RM20.06 juta susulan penamatan pengeluaran satu model kenderaan OEM, sekali gus menyebabkan LBT segmen melebar kepada RM0.93 juta. Sementara itu, Bahagian Pemasaran mencatatkan penurunan hasil 17.2% kepada RM54.55 juta akibat permintaan REM dan eksport yang perlahan, tetapi mencatatkan PBT RM1.21 juta dipacu keuntungan pertukaran mata wang asing (forex).

 

Dari sudut operasi luar negara, operasi di Indonesia mencatatkan pemulihan mengagumkan dengan hasil melonjak 23.8% kepada RM23.17 juta didorong tempahan yang lebih tinggi daripada pelanggan OEM. Operasi di pasaran antarabangsa lain seperti Australia dan Amerika Syarikat (AS) turut mencatatkan pertumbuhan hasil kepada RM39.07 juta dengan PBT RM0.20 juta, dipacu oleh permintaan yang lebih baik bagi pasaran tempatan seperti tempat duduk bas dan kereta api.

 

Meskipun berdepan dengan penurunan hasil keseluruhan, Lembaga Pengarah APM tetap mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, dengan pembayaran dividen ini akan dilaksanakan pada 2 Oktober 2026.

 

Meninjau masa hadapan, prospek APM terus disokong oleh semakan naik unjuran TIV tahunan negara kepada 800,000 unit, di samping kedudukan tunai bersih yang kukuh bernilai RM370.40 juta, kumpulan berada pada kedudukan teguh untuk menghadapi ketidaktentuan rantaian bekalan global dan terus mencari peluang pertumbuhan baharu dalam mobiliti konvensional serta baharu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved