
PUTRAJAYA- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan hari ini.
“Seri Paduka Baginda juga berkenan supaya permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak,” katanya hari ini.
Kenyataan itu berkata, Seri Paduka Baginda turut berkenan membebaskan seramai 65 banduan pada 11 September 2026.
“Semua banduan bukan warganegara dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Permohonan pengampunan Najib ditangguh pada mesyuarat akan datang appeared first on Kosmo Online.






