UMNO harap permohonan Najib dipertimbang tanpa kelewatan - Asyraf Wajdi

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 5:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO harap permohonan Najib dipertimbang tanpa kelewatan - Asyraf Wajdi
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

SHAH ALAM - UMNO berharap permohonan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang tanpa kelewatan yang tidak perlu, selaras dengan proses undang-undang dan Perlembagaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu susulan permohonan berkenaan ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak, sebagaimana dinyatakan dalam kenyataan rasmi Kerajaan.

“Sehubungan itu, UMNO berharap agar permohonan tersebut dapat dipertimbangkan pada mesyuarat akan datang tanpa kelewatan yang tidak perlu, selaras dengan proses undang-undang dan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

UMNO, katanya, menjunjung kasih dan menghormati sepenuhnya institusi Yang di-Pertuan Agong serta segala proses yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan.

Beliau berkata, perjuangan mendapatkan keadilan buat Najib bukanlah suatu usaha untuk mencabar institusi atau proses undang-undang.

“Sebaliknya, UMNO akan terus menggunakan segala ruang yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang bagi memastikan hak beliau untuk mendapatkan pertimbangan yang adil dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, UMNO turut memahami keresahan dan kekecewaan ahli parti serta rakyat yang sudah lama menantikan perkembangan berhubung perkara itu.

“Namun, UMNO menyeru semua pihak supaya terus bertenang, menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses yang sedang berjalan,” katanya lagi.

Beliau menambah, UMNO tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan dan akan terus berusaha melalui saluran Perlembagaan, undang-undang serta institusi yang sah sehingga segala proses berkaitan Najib diberikan pertimbangan sewajarnya.

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved