UMNO harap pengampunan Najib dipertimbang pada mesyuarat akan datang 

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 5:25 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UMNO harap pengampunan Najib dipertimbang pada mesyuarat akan datang 

PETALING JAYA: UMNO berharap permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang tanpa sebarang kelewatan yang tidak perlu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti mengambil maklum keputusan berhubung Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung hari ini.

Beliau berkata, UMNO pada masa sama menjunjung kasih dan menghormati sepenuhnya institusi Yang di-Pertuan Agong serta segala proses yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan.

“UMNO mengambil maklum bahawa permohonan pengampunan  Datuk Seri Najib Abdul Razak telah ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak, sebagaimana dinyatakan dalam kenyataan rasmi kerajaan.

“UMNO berharap permohonan berkenaan dapat dipertimbangkan pada mesyuarat akan datang tanpa kelewatan yang tidak perlu, selaras dengan proses undang-undang dan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, perjuangan mendapatkan keadilan buat Najib bukan usaha untuk mencabar institusi atau proses undang-undang sebaliknya UMNO akan terus menggunakan segala ruang yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang.

“UMNO akan terus menggunakan segala ruang yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang bagi memastikan hak beliau untuk mendapatkan pertimbangan yang adil dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, UMNO memahami keresahan dan kekecewaan ahli parti serta rakyat yang telah lama menantikan perkembangan berhubung perkara tersebut.

“UMNO menyeru semua pihak supaya terus bertenang, menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses yang sedang berjalan.

“UMNO tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan. Kita akan terus berusaha melalui saluran Perlembagaan, undang-undang dan institusi yang sah sehingga segala proses berkaitan Datuk Seri Najib diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menangguhkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan hari ini.- UTUSAN

The post UMNO harap pengampunan Najib dipertimbang pada mesyuarat akan datang  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved