
KUALA LUMPUR – UMNO berharap permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang tanpa sebarang kelewatan yang tidak perlu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu mengambil maklum kenyataan rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri berhubung Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bersidang hari ini.
“UMNO menjunjung kasih dan menghormati sepenuhnya institusi Yang di-Pertuan Agong serta segala proses yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan.
“UMNO mengambil maklum bahawa permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak, sebagaimana dinyatakan dalam kenyataan rasmi kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, perjuangan UMNO mendapatkan keadilan buat Najib bukan usaha untuk mencabar institusi atau proses undang-undang.
Sebaliknya, katanya, UMNO akan terus menggunakan segala ruang yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang bagi memastikan hak Najib untuk mendapatkan pertimbangan yang adil dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“UMNO turut memahami keresahan dan kekecewaan ahli-ahli parti serta rakyat yang telah lama menantikan perkembangan berhubung perkara ini.
“Namun, UMNO menyeru semua pihak supaya terus bertenang, menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses yang sedang berjalan,” katanya.
Asyraf Wajdi menegaskan UMNO tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan untuk Najib dan akan terus berusaha melalui saluran Perlembagaan, undang-undang serta institusi yang sah.
“Kita akan terus berusaha melalui saluran Perlembagaan, undang-undang dan institusi yang sah sehingga segala proses berkaitan (Datuk Seri) Najib diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post UMNO mahu permohonan pengampunan Najib dipertimbang segera appeared first on Kosmo Online.






