
Usia bukan penghalang untuk seseorang kembali mengejar impian yang pernah tertangguh.
Ada yang mungkin terpaksa berhenti belajar kerana keadaan, ada juga yang memilih untuk mengutamakan tanggungjawab lain terlebih dahulu.
Namun, apabila peluang datang semula selepas puluhan tahun, ia boleh menjadi satu titik permulaan yang cukup bermakna.
Lebih-lebih lagi apabila impian tersebut bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi turut didorong oleh keinginan membanggakan insan tersayang.
Begitulah kisah yang dikongsikan pelakon, pengarah dan seniman terkenal, Sabri Yunus, apabila beliau akhirnya kembali ke alam pengajian tinggi pada usia 65 tahun selepas menyimpan hasrat untuk menyambung pelajaran sejak puluhan tahun lalu.
Tak pernah ambil keputusan STPM
Menerusi perkongsian di media sosial, Sabri mengimbas kembali kisahnya yang bermula di Institut Pendidikan di bawah tangga Stadium Kota Bharu pada 1981.
“Akhirnya, 1981 di IP dan 2026 di UPSI. Keputusan STPM ( STPM pertama, sebelum tu hanya STP) tak pernah aku ambil dan tengok sampai hari ini kerana hutang bulanan yang saya tak bayar.
“Lima bulan tak bayar (RM36 x 5 bulan), RM180 ringgit. Bukan ayah tak bagi, setiap bulan ayah bagi tapi aku masa tu tengah nakal,” katanya.
Menurut Sabri, wang yang diberikan bapanya ketika itu banyak dihabiskan untuk menonton wayang di Kota Bharu seperti di Lido, Rex dan Odeon.
Apabila keputusan STPM diumumkan, perkara itu dimaklumkan kepada ayahnya dan Sabri berkata beliau diberikan wang sebanyak RM180 sekali lagi, agar Sabri boleh mengambil keputusan peperiksaan itu dan ayahnya mahu melihat beliau lulus.
Namun, ketika berdiri di hadapan bilik guru, Sabri mula berbelah bahagi. Beliau memikirkan kemungkinan keputusan yang diperoleh tidak memuaskan dan wang yang diberikan bapanya akan dibazirkan begitu sahaja.
“Kalau result tak bagus, 'terbang' RM180 duit ayah. Aku buat keputusan tak ambil. Aku dah habiskan RM180 dulu, takkan nak bazirkan RM180 lagi,” katanya.
Akhirnya, Sabri memilih untuk tidak mengambil keputusan tersebut dan memulangkan semula RM180 kepada bapanya. Beliau turut memberitahu bapanya bahawa beliau merasakan dirinya mungkin tidak lulus peperiksaan penting tersebut.
Apabila kenalan bapanya bertanyakan keputusan STPM beliau, bapanya dengan pantas memberikan jawapan yang bersahaja.
“Dapat 3P, Pembohong, Pemalas, Pemonteng,” tulis Sabri, mengimbas kembali gurauan bapanya yang masih dikenang sehingga hari ini.
Pernah cuba sambung belajar beberapa kali
Walaupun perjalanan pendidikannya ketika itu tidak seperti yang diharapkan, Sabri sebenarnya pernah mencuba untuk menyambung pengajian beberapa kali.
Sekitar 1980-an ketika beliau mula bekerja sebagai artis susun atur di Majalah Dewan Sastera, beliau pernah mendapat bantuan daripada Sutung Umar RS untuk menyambung pengajian di Institut Teknologi MARA (ITM), yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Ketika itu, Sabri bercadang mengambil bidang Seni Lukis dan Seni Reka.
Bagaimanapun, hasrat tersebut tidak kesampaian apabila beliau tidak mampu mengambil cuti tanpa gaji kerana pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak dapat memberikan cuti dengan gaji penuh atau separuh gaji untuk beliau menyambung pengajian.
Dua tahun kemudian, peluang lain pula muncul selepas Sabri menyampaikan ucapan berkaitan teater di Kuala Terengganu dalam sebuah program yang diatur Wan Ahmad Ismail.
Ketika itu, beliau bersama Zakaria Ariffin, Dr Samad Salleh dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Dr Zainal Latiff dari USM terlibat dalam program tersebut.
Selepas sesi tersebut, Dr Zainal Latiff memuji penyampaian Sabri dan menyarankannya menyambung pengajian di USM, malah bersedia membantu.
Namun sekali lagi, hasrat itu terpaksa dilupakan kerana DBP tidak memberikan cuti bergaji dan Sabri tidak berani mengambil risiko untuk meninggalkan pekerjaan.
Akhirnya kembali ke universiti pada usia 65 tahun
Selepas puluhan tahun berlalu, peluang untuk menyambung pengajian akhirnya datang sekali lagi.
Kali ini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menawarkan peluang kepada Sabri untuk mengikuti pengajian dalam bidang seni dan sastera.
Jika sebelum ini beliau pernah bercadang mempelajari seni lukis dan reka bentuk serta seni lakon, kali ini pula beliau memilih bidang yang berbeza.
Sabri menyifatkan ketiga-tiga bidang tersebut mempunyai kaedah pengajian yang berbeza, namun semuanya dekat dengan minat dan perjalanan hidupnya.
Lebih penting, pada usia kini beliau tidak lagi terikat dengan keperluan untuk mendapatkan cuti daripada mana-mana pihak.
“Saya terima tawaran dengan sangat senang hati dan bersemangat. Semangat untuk anak-anak,” katanya.
Hasrat yang sempat dikongsikan bersama arwah ibu
Di sebalik keputusan tersebut, Sabri turut membawa satu kisah yang cukup dekat dengan hatinya.
Bapanya sudah lama meninggal dunia dan tidak sempat mengetahui bahawa anaknya akhirnya kembali menyambung pengajian.
Namun, Sabri sempat berkongsi berita tersebut dengan ibunya, atau lebih mesra dipanggil Mek, kira-kira sebulan sebelum wanita itu meninggal dunia pada 5 Ogos lalu.
Katanya, beliau sempat membisikkan kepada arwah Mek bahawa dirinya akan menyambung pelajaran.
Kini, Sabri secara rasmi kembali bergelar mahasiswa UPSI dan menyifatkan dirinya sebagai “Anak Kandung Sulung Budiman”.
Daripada seorang anak muda yang suatu ketika dahulu memilih untuk tidak mengambil keputusan STPM kerana takut membazirkan RM180 pemberian ayah, Sabri kini membuktikan bahawa perjalanan mengejar ilmu tidak pernah mempunyai tarikh luput.
Pada usia 65 tahun, beliau akhirnya melangkah kembali ke universiti bukan kerana terlambat, tetapi kerana percaya bahawa setiap impian mempunyai waktunya sendiri.





