Selepas lebih 40 tahun meninggalkan alam pengajian tinggi, hasrat pelakon dan pengarah terkenal Mohd Sabri Yunus untuk kembali bergelar mahasiswa akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau diterima mengikuti Program Sarjana Pendidikan Kesusasteraan Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sabri, 65, menyertai program berkenaan menerusi laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Award of Qualifications (APEL.Q), sekali gus menjadi antara pelajar rintis bagi program yang dibangunkan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.
Turut menerima tawaran bagi program sarjana menerusi laluan sama ialah personaliti televisyen dan pengacara, Ahmad Fedtri Yahya, 45, yang mengikuti Program Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu.
Menurut Sabri, peluang berkenaan cukup bermakna kerana beliau pernah dua kali mencuba untuk menyambung pengajian di universiti ketika berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), namun terhalang oleh komitmen pekerjaan.
“Saya sebenarnya telah dua kali berusaha untuk menjadi pelajar di universiti semenjak saya masuk ke Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1982 sebagai pelukis, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana kekangan untuk meninggalkan pekerjaan,” katanya ketika ditemui pada program Executive Talk 6.0 Keselamatan Siber di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjong Malim baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau tidak pernah menganggap proses pembelajaran terhenti meskipun tidak berpeluang mengikuti pendidikan formal kerana melihat setiap individu yang ditemuinya sebagai guru yang mempunyai pengalaman serta ilmu untuk dikongsi.

Sabri (tiga dari kanan) serta Fedtri (kiri) bergambar bersama Prof Md Amin (empat dari kanan) sambil menunjukkan surat tawaran pengajian pada program Executive Talk 6.0 Keselamatan Siber di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.
Menerusi pengajian APEL.Q itu, Sabri bercadang menumpukan kajiannya terhadap pantun khusus dalam Dikir Barat, termasuk mengupas fungsi dan pengertian sebenar istilah ‘Tukang Karut’ yang menurutnya sering disalah tafsir oleh masyarakat.
“Saya nak teruskan pembelajaran saya dan yang nak saya bawa adalah kajian saya tentang Pantun Khusus Dalam Dikir Barat. Pantun dalam Dikir Barat berbeza dengan pantun biasa kerana ia mempunyai beberapa elemen yang tersendiri,” ujarnya.
Bagi Fedtri pula, peluang melanjutkan pengajian di UPSI menjadi ruang untuk beliau memperkukuh pengetahuan dalam bidang Bahasa Melayu, selain menyumbang kepada usaha memelihara khazanah bahasa dan kesusasteraan.
“Saya tidak pernah menjangkakan untuk berada di kampus UPSI yang indah dan bersejarah ini. Kali ini bergelar sebagai siswa, saya bersama Abang Sabri Yunus telah memulakan APEL.Q dan saya fokus kepada bidang bahasa,” katanya.
Beliau berpandangan penguasaan dan penggunaan bahasa mempunyai kaitan rapat dengan tahap keilmuan serta tamadun sesebuah masyarakat.
Katanya, usaha memperkasakan bahasa Melayu perlu diberi perhatian lebih serius, terutama dalam kalangan generasi muda yang kini terdedah kepada perubahan corak komunikasi susulan perkembangan media sosial dan teknologi digital.
Fedtri turut berhasrat menggunakan peluang sepanjang berada di UPSI untuk meneroka serta mendokumentasikan khazanah bahasa dan pantun yang masih hidup dalam masyarakat agar warisan berkenaan dapat dipelihara serta diketengahkan dalam bentuk yang lebih ilmiah.

Sabri ( tujuh dari kanan) bersama Fedtri (sembilan dari kanan) menunjukkan surat tawaran pengajian pada sesi serahan surat tawaran pada program Executive Talk 6.0 Keselamatan Siber di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, penyertaan Sabri dan Fedtri sebagai warga universiti bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua tokoh terbabit, malah membuka ruang kepada warga UPSI untuk mendapatkan perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam bidang seni, bahasa serta budaya.
Menurutnya, pengalaman yang dimiliki kedua-dua tokoh berkenaan juga boleh dimanfaatkan dalam usaha memperkukuh kembali jati diri budaya bangsa menerusi interaksi bersama kira-kira 25,000 pelajar UPSI.






